Sunday, 26 February 2012

Ramai graduan wanita sia-siakan kepakaran


Hanya separuh lulusan IPT ceburi pasaran kerja








BANGI: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006, Prof Dr Muhammad Yunus berpendapat banyak bakat wanita di Malaysia yang menguasai sehingga 70 peratus kemasukan di institusi pengajian tinggi (IPT), menjadi sia-sia berikutan hanya sebahagian daripada mereka mengisi keperluan pasaran kerjaya.
Katanya, wanita terbabit terbukti mampu bersaing dalam cabaran melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memiliki ilmu pengetahuan yang dapat memberi sumbangan besar kepada negara dan masyarakat.
Punca mengapa wanita kurang menceburi pasaran kerja walaupun kuasai kira-kira 70 peratus tempat di IPT, perlu dikaji secara mendalam supaya langkah wajar diambil untuk menangani. - Muhammad Yunus, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006
Beliau berkata, kekurangan peratusan wanita dalam pasaran kerjaya mungkin berpunca daripada faktor sistem sosial atau pun wanita berasa tidak selesa terutama untuk menceburi bidang profesional sehingga mewujudkan jurang gender bagi jawatan peringkat atasan.

“Justeru, punca mengapa wanita kurang menceburi pasaran kerja walaupun menguasai kira-kira 70 peratus tempat di IPT, perlu dikaji secara mendalam supaya langkah wajar diambil untuk menanganinya.

“Sebagai contoh bagaimana untuk membolehkan mereka berasa selesa menduduki jawatan peringkat atasan,” katanya kepada Berita Harian selepas menyertai Wacana Bitara Srikandi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Muhammad yang juga Laureate Bermastautin UKM, bangga dengan pencapaian wanita Malaysia, termasuk menduduki jawatan tertinggi dalam pengurusan perniagaan dan pentadbiran universiti. 
Katanya, pencapaian itu memberi imej positif berbanding gambaran lazim diperoleh mengenai pembabitan wanita yang masih jauh ketinggalan di negara Islam.

“Namun, kita tidak harus puas hati. Masih banyak harus dimanfaatkan seperti (meningkatkan kedudukan wanita) pada peringkat pembuat keputusan, CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat, supaya tiada lagi yang menyatakan pembabitan wanita masih jauh ketinggalan di negara Islam,” katanya.


Credit to: BH/Syuhada Choo Abdullah

No comments:

Post a Comment