Tuesday, 14 February 2012

Hidupkan budaya 'jaga tepi kain' cegah kemungkaran


Masyarakat prihatin boleh eratkan persaudaraan


AJARAN Islam menetapkan bahawa aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam. Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini.


Andai kata aktiviti amar makruf dan nahi mungkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliah bermaharajalela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak.


Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman. - Al-Dzaariyat, ayat 55
Kadangkala ada di kalangan kita tidak mengambil kisah dan mengambil berat perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan daripada mereka yang berada di situ.

Persoalan besar timbul ialah mengapa ada di kalangan kita tidak mempedulikan untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar itu. Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’, atau mangsa bukan keluarga kita, menyebabkan kita tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat kedua bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Pada prinsipnya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain. Rasulullah SAW memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya: “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya” (Riwayat Muslim) 
Berdasarkan peringatan Rasulullah ini, saya menyeru pembaca dan umat Islam sekalian marilah melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketakwaan kita. 

Selain itu, amalan ‘menjaga tepi kain orang’ sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenal pasti orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita. Bagaimanapun amalan ‘menjaga tepi kain orang’ yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinsip amar makruf dan nahi mungkar.

Justeru, pembaca dan umat Islam sekalian jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa yang dilakukan anak itu. Tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang prihatin dan mengambil peduli menegur anak anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.

Wajar kita ketahui bahawa budaya atau amalan nasihat-menasihati, tegur-menegur adalah unsur penting dalam ‘amalan menjaga tepi kain orang’ kerana ia membawa kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Dzaariyat ayat 55: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman”.

Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA.

Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging itu ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis.

Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keprihatinannya sangat tinggi.


Credit: Harian Metro

No comments:

Post a Comment