Wednesday, 19 October 2011

Sepatutnya komited, bukan kemetot!

Thumbnail

Berteks atau tidak, khutbah Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di Shah Alam baru-baru ini memang membakar semangat. Nada suaranya turun naik bagaikan dilambung ombak, lantang dan penuh emosi.Yang penting mesejnya jelas. Sudah hampir dua minggu khutbah itu berlalu, tajuknya (iaitu, bahaya gejala murtad) dan isinya (setiap individu Islam, daripada pemimpin hingga ibu bapa, perlu memainkan peranan berkesan memeranginya), masih mengiang-ngiang di telinga.
Itu keistimewaan Exco Selangor itu; beliau pun memang sudah terkenal sebagai motivator dan pemidato yang baik.

Tetapi, alangkah indahnya jika khatib di setiap masjid dapat menyampaikan khutbah dengan baik. Bukan sahaja ia boleh mengelak jemaah terlelap, tetapi mesejnya menusuk jiwa untuk dihayati dan diamalkan. Itulah masa dan tempat untuk mesej disampaikan sebaik mungkin kerana masa itu ribuan orang Islam, termasuk yang jarang berjemaah dan jarang mendengar ceramah di masjid, berhimpun mendengar apa yang disampaikan untuk menjadi makanan rohani.
Sama-sama kita doakan. Keadaannya kini bergerak ke arah itu. Di banyak masjid, sudah ramai imam dan khatib begitu; hasil tindakan semakin ramai ibu bapa yang condong kepada menjadikan anak mereka hafiz dan ulama.

Keadaannya ketara, terutama pada bulan Ramadan. Kita lihat di banyak masjid dan surau, tarawihnya dipimpin imam hafiz, muda belaka; keluaran pusat hafalan dalam dan luar negara.
Di surau tempat saya, keadaannya cukup terkawal. Tiga orang secara rasmi bergilir-gilir menjadi imam. Hafiz atau tidak, bacaan mereka memuaskan. Lebih menarik, andai kata imam lambat, yang lain boleh jadi imam. Alangkah baiknya jika kerjasama dan tolak-ansur seperti itu dapat wujud di semua masjid dan surau.

Tidak ada sabotaj, buruk sangka, apa lagi merebut tongkat dan tempat imam. Pergaduhan antara imam dan imam atau antara imam dan jemaah sampai melibatkan laporan polis tidak patut berlaku.
Malangnya, anda dan saya tahu, macam-macam berlaku di setengah masjid dan surau. Sebutan yang salah, terutama apabila melibatkan perkataan pelik bukan perkara luar biasa.
Rasanya berlaku di banyak tempat, tapi yang saya ingat masa ini adalah teguran Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, tidak lama selepas mengumumkan kenaikan elaun 2,194 imam dan bilal masjid kampung di seluruh negeri itu.

Menurutnya, ada sesetengah imam tidak meneliti teks khutbah dan inilah yang selalunya membuat mereka tidak lancar masa membaca ketika berkhutbah.
Ada imam salah menyebut perkataan tertentu, khususnya diambil daripada bahasa Inggeris.
HINI, umpamanya, disebut ‘hini’.

Di sebuah masjid baru-baru ini, seorang khatib mengejutkan jemaah. Beliau memberitahu mereka: Kita semua kemetot’, menyebut perkataan yang dibaca dalam teks tulisan jawi. Jemaah tersentak dan terdiam; macam tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.
Khatib terdiam beberapa saat. Wajahnya macam mencari talian hayat. Seorang ahli jawatankuasa masjid menghampirinya. Barangkali, dia memberitahu khatib itu: “Itu komitedlah tuan, bukan kemetot!."
“Kita semua komited,” kata khatib, selamba meneruskan khutbahnya. Jemaah berasa lega. Mereka bukan ‘kemetot’ rupanya.

Barangkali ia lucu, tetapi ini adalah bibit-bibit yang boleh menimbulkan perpecahan akibat perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat dan jawatankuasa masjid dan surau.
Imam dan khatib memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan masyarakat. Sekiranya kesilapan dan ketidaklancaran penyampaian khutbah atau bacaan dalam solat dianggap perkara biasa dan dipandang remeh, lama-kelamaan ia akan bersarang dalam dada dan menimbulkan pertelagahan. Apa lagi kalau melibatkan ketidaksefahaman politik. Saya masih ingat kes seorang tok guru yang didakwa di mahkamah di Kampung Raja, Terengganu, 30 tahun lalu, kerana keluarkan ‘fatwa’.

Antaranya, orang sebuah parti lain tidak boleh dijadikan imam dan sembelihan mereka haram.
Mahkamah mendapati tok guru itu bersalah dan dikenakan hukuman, tapi apakah isu kafir-mengkafir, dua imam dan boikot majlis kenduri yang berlaku selepas itu akibat daripada ‘fatwa’ tok guru tadi, saya tidak pasti. Tetapi yang saya pasti, kesannya kekal, sekurang-kurangnya dalam ingatan yang mendengarnya, hingga ke hari ini.

Jadi, kita semua perlu komited untuk kekalkan keamanan dan kesejahteraan. Ini negara kita, tanah tumpah darah kita.


oleh FARUSH KHAN
10/19/2011 7:41:17 AM

No comments:

Post a Comment