Tuesday, 25 October 2011

Jururawat dibakar suami meninggal dunia



SHAH ALAM - Seorang jururawat yang melecur lebih 80 peratus pada tubuhnya setelah dibakar suaminya sendiri, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), awal pagi semalam.

Suriani Yahaya, 28, meninggal dunia selepas koma selama 10 hari akibat kecederaan teruk itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubu-ngi, mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi.

:Beliau berkata, bagaimanapun, bedah siasat ke atas mangsa sedang dijalankan dan laporan tersebut dijangka diperoleh hari ini.

Katanya, tempoh reman terhadap suami mangsa yang ditahan atas kesalahan mendatangkan kecederaan, juga berakhir hari ini.

“Kita akan mohon kepada mahkamah untuk sambung perintah reman selama seminggu, sebelum kertas siasatan kes dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Setelah laporan bedah siasat keluar, kita akan lihat sama ada terdapat keperluan untuk menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian itu, wanita malang tersebut dikatakan masuk ke dalam bilik air rumahnya di Kampung Baru untuk mandi, sebelum suaminya didakwa bertindak mencampak puntung rokok ke dalam bilik air itu yang disimbah petrol.

Tindakan itu diikuti dengan letupan sehingga menyebabkan mangsa melecur teruk di seluruh badan.


Credit to Sinar 26-10-2011

No comments:

Post a Comment