Monday, 17 October 2011

Ceroboh wilayah Indonesia: Ada pihak berhalusinasi -Ahli DPR Indonesia





17/10/2011 7:37pm

JAKARTA 17 Okt. - Ada pihak mungkin berhalusinasi dalam soal dakwaan kononnya Malaysia menceroboh wilayah Indonesia, mengambil tanah secara haram dan menempatkan ribuan anggota pasukan bersenjata di kawasan itu, demikian pandangan seorang ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengenai perkara itu.

Drs Ramadhan Pohan, yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Suruhanjaya II DPR, membuat kesimpulan itu setelah meninjau kawasan yang dipertikaikan dan melihat sendiri batu sempadan yang dibina bersama Malaysia-Indonesia masih kekal di tempatnya dan tiada kawasan wilayah Indonesia yang diceroboh Malaysia.

“Tidak ada 3,000 anggota PGA (Pasukan Gerak Am) yang mengawal wilayah kita (di Camar Bulan, Indonesia). Yang ada cuma pokok-pokok. Tidak timbul isu itu.

Yang membuat dakwaan kononnya ada askar Malaysia (anggota PGA) mungkin sedang berhalusinasi,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini Isnin, bagi menjelaskan mengenai isu pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu di antara Sarawak dan Kalimantan Barat di sini Isnin.

Dr Ahmad Zahid berada di sini selaku Menteri Pengiring dalam lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah ke Indonesia.

Ramadhan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Demokrat, pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menganggap tindakan ahli politik yang menyampaikan maklumat tidak berdasarkan fakta tepat itu, sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia itu ditimbulkan Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram. - Bernama

No comments:

Post a Comment