Monday, 1 December 2014

Makanan pengaruhi sikap, kehidupan



Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menerusi Rancangan Pesona D'Zahra disiarkan di radio Ikimfm, beliau memperincikan berkenaan tajuk "Mengenal Yang Haram Dalam Rumah tangga.

Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap Mukmin. Oleh itu, Islam menuntut supaya umatnya berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal kepada Allah serta banyak bersabar dalam mencari rezeki kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.
 
Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Baqarah, ayat 188).
 
Firman Allah bermaksud: "Hai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan." (Surah Al-Mu'minun, ayat 51).
 
Jika seseorang mengambil makanan daripada sumber halal, adalah diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh, mantap dan kuat. Sebaliknya, jika seseorang itu memakan makanan haram, maka diyakini imannya akan lemah dan akhirnya terhakis daripada hatinya.

Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada.
 
Baginda bersabda bermaksud: "Barang siapa mencari rezeki halal untuk menafkahi keluarganya, ia laksana mujahid (pejuang) di jalan Allah. Barang siapa mencari harta halal untuk menjaga diri daripada keharaman, ia berada pada darjat syuhada (orang yang mati syahid)." (Hadis riwayat Muslim).
 
Dalam mencari rezeki dan kekayaan, ada ketikanya kita lupa untuk menyemak sama ada cara kita itu betul atau tidak berpandukan al-Quran dan Sunah. Pentingnya keberkatan rezeki adalah ia menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat.
 
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah kepadanya. Maka takutlah kepada Allah dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan cara ketaatan." (Riwayat Ibn Majah dan at-Tabrani)

 
Makanan pengaruhi sikap
 

Menyentuh berkenaan rezeki pada minggu lalu oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menerusi Rancangan Pesona D'Zahra disiarkan di radio Ikimfm, beliau memperincikan berkenaan tajuk "Mengenal Yang Haram Dalam Rumah tangga."
 
Memulakan bicara, beliau berkata makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati, dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara kedua-duanya ada benda-benda yang syubahah.
 

PELBAGAI jenis makanan yang akan mempengaruhi sikap seseorang. - Foto hiasan


Beliau seterusnya mengupas 15 perkara haram yang harus dihindarkan dalam rumah tangga bagi menjaga kesucian hati ahlinya serta keharmonian sesebuah keluarga.
 
Pertama, riba. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al Baqarah ayat 275 yang bermaksud, "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama saja seperti riba". Pada hal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."
 
Kedatangan Nabi Muhamad SAW menghapuskan amalan riba yang berleluasa. Namun sistem riba kembali berleluasa pada kurun-18 akibat tabiat berbelanja di luar kemampuan yang menyebabkan hutang.
 
Wujudnya sistem hutang itulah yang mengakibatkan amalan riba. Justeru jauhilah amalan membazir yang menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam beban hutang.

 
Berbelanja ikut kemampuan
 
Berbelanjalah mengikut kemampuan atau berusahalah mencari pendapatan tambahan seperti berniaga bagi memenuhi keperluan dan kehendak.
 
Seterusnya yang kedua, judi. Menurut pandangan Islam, judi adalah perbuatan yang dilarang dan haram dilakukan. Judi mengakibatkan banyak permusuhan dan kebencian disebabkan seperti pemain yang menang mendapat rezeki dan ganjaran tanpa berusaha, menimbulkan permusuhan antara pemain judi, mensia-siakan harta dan kekayaan dan menyebabkan peningkatan pencuri, penipu dan perompak kerana mencari jalan singkat untuk mendapatkan wang untuk berjudi.
 
Demikian itulah Islam mengharamkan perjudian yang merosakkan diri, keluarga dan masyarakat. Walaupun nilainya sedikit ia adalah perkara yang mesti dijauhi.
 
Ketiga, memperoleh harta atau rezeki daripada penjualan atau perniagaan yang benda tak pasti (kharar), contohnya, memajak kebun durian ketika berbunga, sedangkan belum pasti ia menghasilkan buah atau sebaliknya.

Keempat, tipu daya. Islam yang suci menganjurkan supaya segala kegiatan urus niaga serta jual beli hendaklah dilakukan tidak hanya dengan niat semata-mata untuk memburu keuntungan komersial saja, tetapi apa yang ditekankan ialah dunia perniagaan mengambil kira kepentingan pengguna melalui kejujuran peniaga.

Peniaga yang adil, jujur dan ikhlas akan diberi keberkatan serta hikmah. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Adapun sebahagian daripada isi neraka wail di akhirat kelak adalah terdiri daripada peniaga yang menipu atau mengurangi timbangan." (Hadis riwayat Muslim)
 
Seterusnya, berlaku zalim yang bererti menahan hak. Contohnya menahan nafkah yang sepatutnya adalah hak isteri dan anak-anak. Allah SWT telah memberikan pesanan, agar manusia tidak menjadi kedekut dalam kehidupannya.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka; bahkan ia adalah buruk bagi mereka. (Kelak) Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat." (Ali Imran: 180).
 
Ketujuh, amalan monopoli. Muhammad memetik contoh peniaga yang menyimpan atau menyorok barangan keperluan asas seperti gula, beras dan lain-lain dengan tujuan menunggu harga barangan tersebut naik barulah dijual semula untuk keuntungan berganda-ganda.
 
Kelapan, mencuri. Muhasabahlah sesekali dalam kita mengenal pasti rezeki atau harta yang berkemungkinan datang dalam bentuk mencuri atas hak orang lain. Walaupun nampak mudah, tetapi contoh seperti mengambil sesuatu tanpa kebenaran tuannya juga dikira mencuri yang dikira haram. Umpamanya meminjam selipar untuk mengambil wuduk tanpa kebenaran tuannya.
 
Kesembilan, penipuan. Umpamanya, menawar benda lain tapi menjual benda lain.
 

Pemberi, penerima rasuah dilaknat
 
Seterusnya rasuah yang juga satu dosa besar dalam Islam yang kerap berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah dalam perniagaan. Sesetengah orang beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.
 
Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, "Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."
 
Harta jumpaan atau barang yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.
 
Antara hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai barang luqathah, baginda bersabda, "Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi'ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya." (Riwayat Muslim).
 
Ke-12, perniagaan yang membabitkan secara jelas urus niaga yang haram. Contohnya menjual atau membeli makanan yang sah haram seperti babi dan arak. Hasil perolehannya juga adalah haram di sisi Allah.
 
Seterusnya, juga disebutkan rezeki yang haram oleh Muhamad adalah harta yang diperoleh daripada upah hasil haram dari perbuatan atau perniagaan yang jelas maksiat dan terhina. Contohnya upah dari hasil melacur, memukul dan menganiaya orang serta yang berkaitan dengannya. Ia hendaklah dijauhkan sama sekali oleh umat Islam.
 
Ke-14, pelaburan haram. Dalam mencari harta, seseorang Muslim itu wajib melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum memulakan sesuatu usaha sama ada usaha untuk kehidupan di dunia mahupun usaha untuk akhirat.
 
Terakhir, perkara yang memudaratkan iaitu hasilnya boleh memudaratkan diri dan mereka yang terbabit dalam perolehannya.

Credit: Mazlina Ismail

No comments:

Post a Comment