Saturday, 13 December 2014

Julaibib disayangi Rasulullah SAW

 Pemuda yang memperoleh penghormatan luar biasa

 Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan
Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh. – Gambar hiasan

TERSEBUTLAH kisah seorang pemuda di Madinah bernama Julaibib. Beliau kurang disukai ramai kerana perilakunya yang tidak selari dengan norma masyarakat.

Julaibib terkenal suka bercampur dan berbual-bual dengan kalangan perempuan. Justeru, Abu Barzah al-Aslami pernah melarang isterinya daripada berjumpa dengan Julaibib. Beliau berkata: “Jangan biarkan Julaibib masuk ke rumah kita. Jika tidak, maka aku akan melakukan ini dan itu.” Maksudnya beliau akan menghukum isterinya dengan tegas.

Terkadang kita terlalu sibuk mengeluhkan masalah sehingga terlupa mencarikan jalan penyelesaian. Justeru, apabila pandangan orang lain tertumpu kepada aspek negatif, Rasulullah SAW melihat kepada aspek positif.

Baginda tidak memulaukan Julaibib, malah meminangkan seorang gadis untuk menjadi isterinya. Tindakan ini terbukti sangat berkesan dan merubah hidup Julaibib sebagai mana kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban berikut ini.

Suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada seorang laki-laki Ansar: “Kahwinkan anak gadismu untukku.” Laki-laki Ansar ini menyangka baginda menginginkan anak gadisnya menjadi isteri baginda. Justeru, beliau sangat bergembira dan segera menerima pinangan tersebut.

Namun baginda menjelaskan: “Aku bukan meminangnya untuk diriku. Akan tetapi untuk Julaibib.” Mendengar penjelasan ini, laki-laki Ansar tersebut tertegun. Semua penduduk Madinah tahu siapa Julaibib. Pemuda ini bukanlah tipikal menantu yang terbaik.

Justeru, laki-laki Ansar ini menarik diri dan berkata: “Izinkan saya untuk berbincang dengan ibunya terlebih dahulu.” Baginda menjawab: “Baiklah.” Laki-laki tersebut segera pulang ke rumah. Apabila menceritakan perihal pinangan Rasulullah SAW untuk Julaibib, Isterinya menolak tegas: “Adakah Rasulullah tidak menemukan pemuda lain selain Julaibib?! Aku tidak akan menikahkan anakku kepadanya. Kita telah menolak pinangan ramai pemuda kerana tidak sesuai dengan anak kita.” Pandangan ini turut dipersetujui oleh suaminya.

Beliau segera bangkit untuk berjumpa semula dengan Rasulullah SAW. Tiba-tiba, anak gadis mereka bersuara. Walaupun masih mentah usianya, ternyata fikirannya lebih matang.

Anak gadis ini berkata: “Adakah ibu ayah akan membangkang kehendak Nabi? Jika Nabi telah memilih Julaibib, kabulkanlah perintah baginda. Baginda tidak mungkin menginginkan keburukan untuk kita.” Ucapan ini seolah-olah menyedarkan kedua-dua sahabat ini.

Keputusan Rasulullah SAW tentulah yang terbaik. Justeru, tidak patut bagi seorang Muslim membantah perintah baginda itu. Ayah gadis itu lalu mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: “Jika tuan reda kepada Julaibib, maka kami pun reda kepadanya.” Baginda menjawab: “Aku reda kepadanya.” 

Laki-laki Ansar itu lalu menikahkan anak gadisnya dengan pemuda pilihan Rasulullah SAW. Baginda turut mendoakan gadis itu dengan sabdanya: “Ya Allah siramkanlah kebaikan kepadanya dengan deras dan jangan jadikan hidupnya susah.”

Berperang Beberapa lama setelah itu,Rasulullah SAW dan para sahabat keluar untuk menghadapi musuh Islam yang akan menyerang Madinah. Semua pemuda ikut serta dalam ekspedisi itu, tidak terkecuali Julaibib. Di akhir peperangan, para sahabat memeriksa keadaan para tentera dan menguruskan jenazah yang terkorban.

Rasulullah bertanya: “Masih adakah yang tertinggal daripada pasukan kita?” Para sahabat menjawab: “Tidak ada, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Akan tetapi aku masih lagi mencari Julaibib. Carilah dia daripada kalangan tentera yang terkorban.”

Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh. Apabila melihatnya, Rasulullah SAW bersabda: “Ia telah membunuh tujuh orang musuh, lalu ia terbunuh. Ia sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripadanya.” Baginda mengucapkannya tiga kali.

Rasulullah SAW meletakkan mayat Julaibib di atas lengan baginda sementara digalikan kubur untuknya. Setelah siap, baginda sendiri yang meletakkan mayat Julaibib ke liang kubur. Sungguh beruntung Julaibib.

No comments:

Post a Comment