Tuesday, 23 December 2014

Adab terima khabar berita

perkembangan komputer
Sikap bertaklid buta membuatkan seseorang sentiasa dalam kejahilan

ZAMAN semakin hari semakin pesat membangun. Pelbagai perubahan demi perubahan telah dikecapi baik daripada sudut pembangunan, kehidupan, teknologi dan sebagainya.

Seiring dengan kemajuan teknologi, maka maklumat juga semakin hari semakin mudah didapati dan dicapai. Semuanya di hujung jari sahaja dengan capaian internet.                  

Hari ini, maklumat tersebar dengan begitu pantas sekali. Tambahan pula dengan fenomena laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatssapp dan sebagainya, apa jua berita dapat tersebar dalam masa beberapa saat sahaja ke seluruh pelosok dunia! Jika ia digunakan dengan kebaikan sudah pasti banyak manfaat yang diperoleh.

Namun, risiko tersebarnya keburukan juga terbuka luas bahkan kerosakan berskala besar boleh terjadi dengan sekelip mata jika tidak cermat menggunakannya.

Hari ini manusia mudah sekali menyebar fitnah, aib dan keburukan orang lain melalui laman sosial hingga ia menjadi viral, diketahui semua orang. Bukan itu sahaja, sikap sebahagian masyarakat yang begitu mudah menyebarluaskan sesuatu berita yang diterimanya menjadi punca besar dalam masalah ini.

Butang share ditekan begitu mudah tanpa memikirkan kesan dan akibat yang akan terjadi selepas itu. Sikap inilah yang perlu dikaji dan diperbaiki oleh masyarakat kita agar lebih berhati-hati dan bijaksana dalam menerima maklumat. Islam telah lama meletakkan garis panduan dalam permasalahan ini.

Kita diajar supaya mengkaji kesahihan sesuatu berita yang datang sebelum ia diterima, dipercayai dan disebarkan. Sikap bertaklid buta iaitu terus mempercayai begitu sahaja tanpa mengkaji terlebih dahulu menyebabkan seseorang itu terus menerus berada dalam kejahilan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Lihatlah betapa jelasnya perintah Allah SWT ini. Sikap inilah yang perlu ada dalam setiap diri setiap orang Islam supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kebenaran sesebuah berita yang dijumpai. Jika tidak, boleh jadi berita itu tidak benar atau fitnah semata hingga membawa kepada pertumpahan darah, pergaduhan dan permusuhan. Disebabkan kejahilan kita kerosakan yang besar terjadi. 

Perkataan orang fasik di dalam ayat al-Quran di atas bukanlah bermaksud orang yang diketahui selalu menipu semata-mata, bahkan menurut ulama tafsir al-Quran ia juga merujuk kepada orang yang tidak dikenali siapa dirinya (majhul ‘ain) ataupun orang yang dikhuatiri salah dalam menyampaikan berita. 

IMAM Ahmad meriwayatkan di dalam musnadnya bahawa ayat al-Quran tersebut diturunkan berdasarkan suatu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW memerintahkan Walid bin Uqbah untuk datang kepada Al-Harith bin Dhirar dan kaumnya bagi memungut zakat. 

Walid bin Uqbah kemudiannya berpatah semula kerana berasa bimbang akan keselamatan dirinya lalu berkata kepada Nabi SAW bahawa Al-Harith bin Dhirar tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan mahu membunuhnya. Sedangkan Walid belum pun bertemu dengan Al-Harith pada hakikatnya. Al-Harith kemudian menemui Nabi SAW dan menjelaskan semuanya hinggalah turun ayat dalam surah al-Hujurat tersebut.

Di dalam kisah ini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya menyemak kesahihan sesebuah berita yang sampai kepada kita. Itulah apa yang dilakukan oleh Nabi sejurus selepas Walid bin Uqbah menceritakan kisah yang tidak benar itu. Baginda memerintahkan wakilnya untuk bertemu dengan Al-Harith untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian. 

Inilah sikap yang perlu ada dalam diri kita semua. Kadang-kala berita yang sampai kepada kita itu datangnya daripada orang yang kita kenali, namun berita itu sebenarnya salah. Kebiasaannya disebabkan si penyampai itu kawan kita, maka kita terus menerimanya bulat-bulat atas dasar percayakan kawan.

Sikap sebegini perlu dibaiki kerana belum tentu orang yang kita percayai menyampaikan maklumat yang tepat. Selari dengan kemajuan teknologi dan maklumat, sepatutnya kita semua juga lebih bijaksana dan peka dalam menerima khabar maklumat yang ada.

Firman Allah di atas hendaklah dijadikan asas panduan bagi kita semua dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita semua lebih berhati-hati dan sensitif dalam masalah ini. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment