Sunday, 21 December 2014

Guru Diingat Tidak Mempermainkan Isu Lelaki Lembut - PIBGN



PETALING JAYA: Golongan pendidik diingatkan supaya bersikap terbuka dan tidak mempermainkan isu lelaki lembut yang diketengahkan menerusi novel Destinasi Impian ketika mengajar subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Satu.
 
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, setelah novel ini diberi laluan memasuki kelas, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk melaksanakan peranannya bagi memulihkan permasalahan yang berlaku menggunakan teks yang dipilih.

"Ini adalah hakikat yang guru perlu ambil kira, selain sifat keterbukaan dan positif terhadap isu lelaki lembut.

"Tak perlulah isu ini menjadi permainan, ejekan atau pun modal untuk merendah-rendahkan martabat anak-anak yang lembut ini," katanya kepada mStar Online.
Beliau diminta mengulas laporan mStar Online mengenai pemilihan naskhah Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini akan digunakan oleh pelajar Tingkatan Satu di sekolah-sekolah di Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.
 
Ia mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut.
 
Dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam enam adikberadik dan sering dicabar oleh rakan dan ahli keluarganya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha untuk menjadikan dirinya seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri lelaki sejati.
 

 
Tambah Mohamad Ali lagi, pemilihan novel ini perlu dilihat secara positif oleh ibu bapa, guru dan masyarakat kerana tema yang diangkat tidak hanya tertumpu kepada konflik golongan lembut semata-mata tetapi juga peranan masyarakat secara keseluruhannya.
 
"Kita harapkan dengan pendedahan tema ini guru-guru yang mempunyai jiwa dan semangat pendidik sejati akan mempunyai ruang dan peluang untuk memahami permasalahan pelajar lembut.

"Mereka perlu memikirkan tindakan pemulihan jika perlu, baik secara individu atau kolektif," katanya.
 
Menurutnya, walaupun novel Komsas dengan tema ini agak asing untuk semua dan sedikit lari daripada kebiasaan, beliau mengajak semua pihak bersifat optimis dengan harapan ia mampu membuatkan masyarakat menginsafi keadaan semasa ini.
 
"Masyarakat tak harus memberi persepsi negatif terhadap buku yang telah dipilih dan dinilai ini.

"Lelaki lembut telah menjadi fenomena, semestinya ia dirasakan sesuai oleh panel pemilih untuk didedahkan kepada pelajar kita," katanya.
 
Beliau juga percaya sokongan ibu bapa dan masyarakat serta kepercayaan terhadap bimbingan guru-guru untuk memastikan keberkesanan novel ini, akan membolehkan fenomena ini dibendung.
 
Mengenai kebimbangan sesetengah ibu bapa yang merasakan isu ini kurang sesuai untuk didedahkan kepada pelajar Tingkatan Satu, beliau berkata, rata-rata pelajar berusia 13 tahun sudah mencapai peringkat akil baligh yang seharusnya boleh berfikir dan menimbang antara yang baik atau buruk.


 
 
Credit: Izra Abdul Rahman/MStar

No comments:

Post a Comment