Sunday, 7 December 2014

JANGAN REMEHKAN BERBUAT KEBAIKAN




Sabda Rasulullah SAW; "Jangan pernah kamu meremehkan kebaikan, meski dengan menyambut saudaramu dengan wajah berseri." (Hadis Riwayat Muslim). - Gambar hiasan

Kehidupan adalah peluang disajikan Allah SWT di mana kepelbagaian peluang ini tidak dapat dihitung oleh manusia. Peluang ini datang pada setiap bidang dan sebahagian daripadanya dapat mengubah perjalanan hidup seseorang dan sebahagiannya tidak akan berulang sehingga ada ulama mengungkapkan bahawa: "Apabila dibuka suatu peluang kebaikan, maka bersegeralah melakukannya kerana kita tidak mengetahui bilakah ia akan tertutup buat kita."

Kadang kala kita melihat peluang berkenaan berbentuk kebaikan bagi membentuk dan membina masyarakat, terkadang berbentuk jawatan dan pangkat untuk berkhidmat kepada agama dan umat selain ada masanya berbentuk perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan khususnya dari seorang insan yang baik.

Sesungguhnya harta yang banyak di tangan orang yang baik adalah satu nikmat yang tidak ternilai. Ulama menyebut: "Sebaik-baik harta adalah dari kepunyaan orang yang baik." Ini kerana, orang baik dan soleh saja yang dapat menguruskan hartanya mengikut acuan agama.

Peluang dalam kehidupan akan sentiasa terbentang sepanjang hayat dan ianya teguh berdiri sehinggalah detik terakhir kehidupan. Sabda Baginda SAW bermaksud : "Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan seorang daripada kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala." (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Dua jalan

Dapat difahami bahawa dua jalan yang tidak pernah terpisah iaitu dunia dan akhirat. Apa yang tersirat ialah Baginda SAW ingin menyatakan dengan maksud tersurat berbunyi: "Bekerjalah sehingga ke detik-detik terakhir kehidupan."

Saidina Umar Al-Khattab memberitahu dengan tegas dan yakin bahawa: "Jikalau di tanganku ada sebutir biji benih dan aku tahu keesokan harinya akan kiamat, nescaya aku akan tanam biji benih berkenaan."

Demikianlah Baginda SAW yang sentiasa peka dengan peluang dan menyarankan umatNya mengisi peluang berkenaan dengan kebaikan. Maka, Saidina Abu Bakar Assiddiq ra dapat merebut peluang pertama sehingga diiktiraf baginda SAW melalui sabdanya bermaksud: "Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allah kepada kamu namun kamu sekalian mengatakan, "Engkau pendusta!" Sementara Abu Bakar berkata: "Engkau benar!" Selepas itu dia membelaku dengan seluruh jiwa dan hartanya. Lalu apakah kamu akan mengabaikan sahabatku ini? (Hadis Riwayat Bukhari).

Begitu juga Saidina Othman yang berusaha agar kekalutan yang berlaku pada zamannya dapat diredakan dengan menangkis serangan fitnah terhadapnya secara bijaksana.

Akibatnya, nyawa dan jiwanya terus terancam sehingga meninggal dunia dalam keadaan membaca Al-Quran. Peluang jawatan yang dikurniakan Allah SWT tidak disia-siakan sehingga beliau dapat memperluaskan empayar Islam yang dapat mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka.

Beliau juga dapat menyatukan pengumpul Al-Quran yang membawa pelbagai versi dalam sebuah mushaf yang diberi nama mushaf Uthmani. Demikian juga mereka yang terdahulu daripada Muhajirin dan Ansar yang mendahului manusia lain apabila mereka menggunakan peluang berhijrah dan menerima ahli Makkah sebagai tetamu istimewa.

Terus menetap dalam syurga

Pasukan Badar yang berjuang bermati-matian, mereka yang menerima Islam sebelum pembukaan kota Makkah dan berhijrah serta mengorbankan harta dan jiwa di mana mereka mendapat pengiktirafan khusus berbanding mereka yang berjuang selepas pembukaan kota Makkah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan antara mereka ialah orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia). yang akan mendahului orang lain dalam mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak. Mereka itulah orang-orang yang didampingkan di sisi Allah SWT. Terus menetap di dalam syurga yang penuh nikmat. Sebahagian besar daripada mereka adalah dari umat manusia yang terdahulu dan sebilangan kecil dari orang yang datang kemudian." (Surah Al-Waqiah ayat 10-14).

Demikianlah gambaran mereka yang terbaik disisi Allah SWT apabila mereka dapat memanfaatkan peluang dalam kehidupan. Mereka yang menyedari akan luputnya tarikh peluang itu akan berasa kelajuan masa dengan berlalunya peningkatan umur, tahap kesihatan yang rendah, berkurangnya harta simpanan, status keamanan sejagat dan keizinan masa yang terbatas.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Jangan pernah kamu meremehkan kebaikan, meski dengan menyambut saudaramu dengan wajah berseri." (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda: "Takutlah kamu kepada neraka, meski dengan bersedekah sebutir kurma." (Hadith Riwayat Bukhari). Begitu juga mereka yang ditimpa musibah. Maka, peluang bagi mereka adalah bersabar dan reda atas segala ketentuan.

Setia terhadap agama

Nabi Yusuf as yang menderita akibat berada di perantauan, kezaliman dan penjara yang menyakitkan, masih setia terhadap agama dan kebenaran walaupun menerima tekanan terhadap kalimah tauhid yang dipegang.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai kedua penghuni penjara, manakah yang lebih baik. Tuhan yang bermacam-macam itu ataupun Allah yang maha Esa lagi perkasa? Maka Yusuf as menjawab dengan yakin melalui firman Allah SWT bermaksud: "Keputusan hanyalah kepunyaan Allah. Dia memerintahkan agar kamu tidak menyembah yang lain kerana itulah agama yang lurus". (Surah Yusuf ayat 39-40).

Namun demikian, peluang ini disalah gunakan sebahagian masyarakat kini dengan meletakkan kebebasan yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk menjadi kufur.

Bagi mereka, sesiapa saja berhak untuk beriman dan kufur sebagai respons kepada peluang yang dikurniakan Allah SWT. Pada mereka, ini adalah peluang yang dianugerahkan Allah SWT untuk kita beriman atau kufur mengikut pandangan masing-masing.

Malah ada yang mengungkapkan bahawa: "Kami hanya murtad dan kufur sahaja. Kami tidak mengganggu sesiapa. Biarkanlah kami dengan fahaman kami." Malah, mereka juga membentangkan ayat Al-Quran sebagai alasan bagi menghalalkan kata-kata mereka.

Mereka membacakan ayat yang bermaksud: "Dan katakanlah bahawa kebenaran adalah dari TuhanMu. Sesiapa yang ingin beriman, dia boleh beriman dan sesiapa yang ingin kufur, maka dia berhak berbuat demikian." (Surah Al-Kahfi ayat 29).

Di sini, terdapat beberapa perkara yang kita harus perhatikan. Walaupun Allah SWT memberikan tawaran untuk manusia memilih, Allah SWT tidak membiarkan kita terkapai-kapai mencari kebenaran. Allah SWT Maha Penyayang dan Dialah yang memberikan petunjuk.

Empat batas utama

Maksud ayat seterusnya ialah: "Sesiapa yang kufur dan zalim, bagi mereka adalah neraka yang sering mengepung mereka serta pelbagai azab yang memedihkan". (Surah al-kahfi ayat 29). Ini menunjukkan bahawa pilihan mereka mestilah tepat dan benar kerana neraka sedang menanti. Janganlah pula mereka sanggup mengatakan bahawa: "Kami sanggup masuk neraka asalkan jangan ganggu kami."

Ingatlah bahawa iman dan kufur dibatasi oleh empat benteng utama. Oleh itu, sesuatu ucapan atau perbuatan yang membawa maksud yang disengajakan untuk melanggar keempat-empat batas ini, maka ia akan mengeluarkan seseorang itu dari iman dan Islam.

Empat batas utama yang menjadikan terbatalnya iman seseorang ialah mengingkari atau mencela sifat rububiyyah Allah, mengingkari atau mencela nama atau Asma' Allah dan sifat-sifat-Nya, mengingkari atau mencela sifat uluhiyyah Allah dan mengingkari atau mencela Rasulullah SAW sama ada kerasulannya atau apa yang dibawanya melalui hukum syari'at.

Banyak ayat yang menjelaskan bahawa tidak ada sedikit pun perbuatan Allah yang terkeluar dari landasan hikmat. Bertolak dari sini, perbuatan menolak atau menentang sebahagian dari syari'at dan hukum ketetapan Allah SWT bererti menolak dan menentang perbuatan Allah secara keseluruhannya.

Oleh itu, bagi mereka yang mengucapkan kata-kata yang boleh membawa mereka ke jurang yang hina ini mestilah menggunakan peluang yang ada untuk kembali kepada jalan yang sebenar.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Wahai kaumku, mintalah ampun daripada Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaatiNya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa." (Surah Hud, ayat 52).

Rahmat akan sentiasa membayangi kita semua sekiranya perasaan takabbur dapat dihapuskan dengan menerima pandangan ahli ilmu di dalam bidang mereka.

Kesimpulannya, setiap manusia diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melakukan ketaatan. Maka, mereka yang bahagia adalah mereka yang dapat menjadikan setiap musim dalam kehidupan sebagai peluang untuk membersihkan jiwa, membangunkan kehidupan dan sentiasa berjuang untuk mencapai tahap tertinggi.

Apabila hilangnya semangat juang berkenaan, maka hilanglah peluang keemasan yang diberikan Allah SWT. Ingatlah bahawa kita tidak diberikan kebebasan dalam menentukan jalan keimanan dan kekufuran. Hanya jalan iman sahaja yang akan selamat di dunia dan akhirat.



 Credit: Zamanuddin Jusoh

No comments:

Post a Comment