Thursday, 13 November 2014

Peliharalah aurat kerana ia adalah maruah dan harga diri seseorang wanita. - Sekadar gambar hiasan
Peliharalah aurat kerana ia adalah maruah dan harga diri seseorang wanita. - Sekadar gambar hiasan














ISLAM mengembalikan kemuliaan wanita yang pada mulanya dianggap rendah tarafnya oleh masyarakat Arab jahiliah. ALLAH SWT memuliakan manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri daripada lelaki dan wanita.

Justeru dengan kemuliaan inilah manusia diberikan amanah ke atas setiap diri individu untuk menjaganya agar tidak tercemar.

Berbicara mengenai wanita, pastinya kurang lengkap jika tidak menyentuh perihal aurat. Sesetengah wanita memandang enteng mengenai aurat sehingga ada dalam kalangan mereka 'menutup tetapi terbuka'.

Ada juga apabila diajak menutup aurat dijawabnya diri belum bersedia untuk bertudung sepenuhnya. Adakah itu jawapan atau sekadar alasan?

Ulama bersepakat menyatakan aurat berasal daripada kalimah ’Arun, bermakna celaka. Ini kerana sering kali pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan Iryan juga membawa makna aib dan memalukan.

Orang yang mendedahkan aurat adalah berkelakuan tidak sopan dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna sesuatu yang menjijikkan. Kerana inilah juga lelaki diwajibkan menundukkan pandangan daripada melihat aurat wanita yang dianggap jijik, dan ia termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang menjijikkan jika diperlakukan.


Harga diri

Maruah adalah lambang ketinggian nilai seseorang manusia. Andainya maruah seseorang itu tercemar, nilai dan harga diri seseorang itu sudah tidak ada lagi.

Hakikat semula jadi manusia mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu daripada badan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mendedahkan aurat sama seperti tidak berpakaian. gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan dan lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup aurat.

Maka hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya adalah untuk menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala yang tidak sihat berlaku.

ALLAH menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan diri, seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit dan lain-lain berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, salah satu syariat-Nya ialah mewajibkan wanita menutup aurat. Tujuannya adalah untuk memuliakan dan menghormati nilai diri setiap Muslimah.

Pendedahan aurat adalah sangat hodoh dan buruk di sisi syariat. Mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang rendah dan merosakkan masyarakat.

Wanita yang sengaja mendedahkan aurat adalah golongan yang dianggap tidak amanah terhadap diri sendiri yang diperintah ALLAH agar menutupnya dengan rapi dan sempurna.

Dia berfirman: "Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka," (Surah Al-Nur: 31)

Nabi SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman. Menutup aurat dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam diri adalah suatu fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa manusia yang beriman. Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya perasaan malu.

Nabi SAW bersabda: "Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang."

No comments:

Post a Comment