Wednesday, 26 November 2014

Dua syirik boleh sebabkan kufur


Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain sama ada secara terang atau secara tersembunyi dalam Tarbiah.
 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." (Surah an-Nisa', ayat 48)
 
Barangkali kita telah terselamat daripada melakukan perkara membawa kepada syirik secara terangan seperti menyembah berhala, tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah SWT. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah SWT secara terang itu kita tidak melakukan syirik kepada-Nya?
 
Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah SWT.
 
Sekutu Allah perbuatan syirik

Menyekutukan Allah SWT jelas dianggap sebagai suatu perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama, apatah lagi perbuatan sesetengah orang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Lebih parah apabila golongan itu wujud dalam masyarakat kerana boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik bermakna menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Syirik secara terang disebut sebagai syirik jali manakala syirik secara tersembunyi adalah syirik khafi.


Bagaimanapun, kedua-dua jenis syirik ini mengundang bahaya yang besar kepada kita kerana takut apa juga amal ibadah dilakukan kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh, menjadi kawah kosong yang kering kontang tanpa apa-apa hasil.
 
Penegasan salahnya perbuatan syirik dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka." (Surah al-Ma'idah, ayat 72)
 
Justeru, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan dan tindak tanduk supaya kita tidak dibelenggu perbuatan adat dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar sehingga boleh membawa kepada dosa besar yang akhirnya menjerumuskan kita ke neraka.
 

Galak cari ilmu
 

Sebab itulah kita dianjurkan untuk mencari ilmu agama yang kukuh dan belajar dengan mereka yang arif supaya ilmu agama boleh menjadi benteng atau pendinding daripada ancaman perbuatan merosakkan akidah terhadap Allah SWT.
 
Menurut Sharizan, syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu menerusi iktikad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah SWT.
 
Kedua, menerusi perbuatan serta amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib, mempercayai sesuatu objek mempunyai keramat tertentu juga membawa kepada unsur syirik.
 
Bahkan ahli agama berpendapat perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan yang boleh menjurus kepada syirik.
 
Ketiga, menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.
 
Syirik khafi pula, kita harus lebih berhati-hati kerana dibimbangi tanpa disedari kita tergolong dalam melakukan perbuatan syirik seperti perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.
 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya." (Surah al-Kahfi, ayat 110)
Amal ibadah kita kepada Allah SWT hendaklah dilakukan secara ikhlas dengan bersungguh-sungguh meyakini keesaan-Nya. Amalan kita bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
 
Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.
 
Perbuatan bertujuan menunjuk-nunjuk sama ada secara sengaja atau tidak, amat dimurkai Allah SWT, malah Rasulullah SAW menegur perbuatan itu kerana boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan hati manusia.
 
Allah SWT menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi." (Surah az-Zumar, ayat 65)
 
Bina kesedaran, tambah pengetahuan
 
Mari kita bersama membina kesedaran melalui ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak terjerumus dengan perbuatan bukan sekadar sia-sia tetapi membawa kepada dosa. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan.
 
Adalah merugikan ibadah kita lakukan secara bersungguh-sungguh atau sedekah jariah yang sekian banyak, jika amalan itu bersulam perbuatan riak yang menjurus kepada syirik kerana telah banyak disebut dalam hadis dan al-Quran bahawa amalan syirik hanya membawa kepada kebinasaan serta kerugian.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman, ayat 13)


Credit: Nik Hasnah Ismail

No comments:

Post a Comment