Saturday, 15 November 2014

MENANGANI MUSUH DALAM KALANGAN ISLAM

MUTAKHIR ini umat Islam berhadapan dengan cabaran getir, bukan sahaja daripada ekstremis agama lain tetapi juga musuh dalam kalangan orang Islam sendiri.

Kemunculan fahaman pluralisme dan liberalisme dalam Islam walaupun hakikatnya dicetuskan oleh bukan Islam, ia dimarakkan dan disebar luaskan oleh munafik melalui hujah yang mengikut hukum logik serta prinsip-prinsip kebebasan yang bertentangan dengan Islam. Tujuannya untuk memberikan persepsi buruk kerana kelihatan hukum dalam Islam menafikan kebebasan, kejam, tidak adil dan sebagainya.                 

Golongan ini merencanakan siri serangan kepada Islam secara perlahan dengan cara menyokong promosi seks bebas atas alasan hak asasi, kelab homoseks, kelab lesbian, mempromosi anti-poligami dan turut mempersoalkan sama ada poligami patut terus dibenarkan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam. Selain itu mereka juga giat merangka agenda mempromosi anti-hudud, membantah Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pengharaman yoga, menyokong dan mempromosi hak wanita menjadi imam dalam sembahyang seperti yang dilakukan oleh Aminah Wadud dari Amerika Syarikat dan mempromosi pengedaran kondom kepada remaja di atas alasan bagi mengelakkan penularan HIV/AIDS tetapi tidak menekan kehidupan beragama.Lebih berani, mereka juga pernah mencadangkan kes perceraian dalam kalangan Islam dibicarakan di mahkamah sivil, dan bukannya di mahkamah syariah, mempertahankan hak wanita Islam yang murtad atas nama hak asasi manusia dan membantah pengharaman program Seksualiti Merdeka yang mengajak masyarakat mengiktiraf seks songsang dalam kalangan homoseks dan lesbian dalam negara ini.Kelompok ini mengelirukan orang awam apabila dengan sengaja mencampur adukkan antara keunggulan Islam dengan kegagalan pelaksanaan hukum-hukum Islam oleh sesetengah pihak berkuasa dan birokrat agama.

Kegagalan sesetengah birokrat ini sengaja dilihat sebagai kelemahan hukum Islam terutama dalam isu-isu keluarga Islam, diskriminasi gender dan kebebasan hak individu mengikut acuan Barat.Kelemahan perlaksanaan inilah yang menjadi pemangkin kepada meluasnya pengaruh “musang berbulu ayam” ini. Ada pihak berkuasa dan birokrat agama terlalu birokratik, mengikut “buku” dan tidak menyediakan ruang budi bicara untuk menangani kes-kes yang sepatutnya memerlukan sentuhan insani.

Hakikatnya, kejahatan orang Islam yang menentang agama ini telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Sirah membuktikan terdapat seorang sahabat iaitu Hudzaifah al-Yamani yang menyimpan senarai orang munafik di Madinah pada waktu itu, berpandukan apa yang diberitahu Rasulullah kepadanya. Kelebihan Hudzaifah sebagai ‘Pemegang rahsia Rasulullah’ ini menyenangkan urusan penapisan berita, sebagaimana pesan Allah dalam Surah Al-Hujurat, Ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Pelbagai makar dirancang oleh golongan sebegini zaman demi zaman, hasta demi hasta untuk melemahkan umat Islam melalui strategi ghuzwatul fikr atau serangan pemikiran.

Sejak dulu juga kegiatan mereka sukar untuk dibenteras kerana zahirnya kelihatan Islam. Kita mungkin sukar untuk terpengaruh dengan hujah bukan Islam mengenai hukum Islam. Tetapi akan menjadi sebaliknya kalau dihujahkan oleh orang Islam sendiri, apa lagi dengan ketokohan (walaupun bukan dalam pengajian Islam) yang berjaya membina personaliti dan keterampilan kononnya mewakili orang Islam.

PenyumbangGolongan ini juga mendapat sokongan sesetengah pihak dalam Islam yang sememangnya mencari ruang kelonggaran yang melampau dalam kehidupan beragama misalnya menerusi program Seksualiti Merdeka atau menyanggah kod etika pakaian menurut Islam. Langkah mereka lebih panjang berbanding pihak berkuasa agama apabila membina jaringan antarabangsa dengan banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sealiran.

Liberalis agama ini dilihat mewakili negara dalam bab Islam di negara ini di forum-forum antarabangsa. Walaupun tidak diberi kuasa untuk mewakili negara ini dalam hal ehwal Islam tetapi dunia hanya kenal mereka, apa lagi ideologinya sama dengan aliran liberalis musuh Islam di dunia.

Kelemahan sistem perlaksanaan hukum Islam merupakan antara faktor penyumbang kepada peningkatan pengaruh dan kedudukan kukuh golongan ini. Jumud dan lalai dalam menambah baik sistem perlaksanaan hukum Islam membuatkan Islam kelihatan tidak sesuai dengan zaman.

Sebagai contoh, pelaksanaan undang-undang syariah terutama dalam hal ehwal keluarga Islam dilihat lebih memihak kepada lelaki dan menindas wanita. Ini disebabkan sesetengah birokrat agama kita terlalu birokratik hingga hilang nilai keinsanan. Kepada wanita yang menjadi mangsa kerenah birokrasi, tentu sahaja mereka menerima dengan tangan terbuka bantuan yang dihulurkan oleh NGO yang 'bertenggek' di atas nama Islam.Padahal sepatutnya peranan itu dilakukan oleh pihak berkuasa agama.

Kita tidak boleh menyalahkan individu yang menerima bantuan daripada pihak yang menjadi musuh Islam. Dalam keadaan terdesak, rasa dianiaya oleh suami dan birokrat agama, tentulah kalau ada simpati dan bantuan yang dihulurkan akan diterima tanpa banyak soal jawab.

Hakikatnya, musuh Islam daripada kalangan munafik ini bukanlah kuat, namun kelemahan birokrat agama menjadikan golongan ini nampak lebih berperikemanusiaan.

Hujah-hujah bernas dari sudut logik akal yang dijadikan umpan kepada umat yang agak jauh dari landasan agama ini mampu meraih sokongan mereka yang hilang jati diri agama.

Apatah lagi kemampuan menyamar dengan memakai jubah agama, mereka terus menyesatkan golongan yang hampir sesat.Justeru itu, berpandukan sirah ini, umat Islam perlulah bijaksana menaakul situasi semasa, supaya tidak ditipu musuh nyata dan sembunyi melalui perancangan rapi.

Zaman ini, kita seharusnya menjadi lebih berwaspada, kerana pada zaman nabi pun golongan ini sudah melampau.

Apatah lagi pada dunia sekarang dalam zaman teknologi dan langit terbuka yang menyebabkan begitu ramai “Abdullah bin Ubay” berkeliaran mengintai lompang kelemahan penganut Islam dan penguasa negara.

Faktor yang menyebabkan meletusnya Perang Bani Mustaliq yang berlaku dalam Sya’ban tahun keenam Hijrah perlulah dijadikan iktibar.

No comments:

Post a Comment