Thursday, 13 November 2014

Dajjal terikat di sebuah pulau

 Berdasarkan kepada kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mengatakan Dajjal al-Masih dikatakan 'menghuni' di sebuah pulau.
Berdasarkan kepada kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mengatakan
Dajjal al-Masih dikatakan 'menghuni' di sebuah pulau.

HARI ini ramai yang gemar berkongsi khabar angin mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sahih. Terutama khabar angin mengenai dajjal.

Ada sahaja khabar angin perihal dajjal dalam versi yang pelbagai. Ada yang mengandaikan dajjal itu seorang manusia, sesebuah negara, atau sebuah lambang adalah dajjal. Ada juga yang mengatakan dajjal akan dilahirkan, telah dilahirkan mahupun sedang dilahirkan.

Persoalannya, adakah hal ini benar?. Siapa dajjal dan bagaimana dajjal yang sebenarnya. Maka kembalilah kita kepada rujukan yang sahih tanpa was-was, iaitu al-Quran dan Sunnah.


Peringatan Nabi SAW

Diriwayatkan oleh Abu Salamah, beliau berkata: "Aku pernah mendengar daripada Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku bercerita mengenai dajjal sebagai suatu perbicaraan yang belum pernah seorang nabi menceritakan kepada kaumnya. Sesungguhnya dia itu buta sebelah matanya dan dia akan datang membawa seperti syurga dan neraka. Maka apa yang dikatakan syurga, itulah neraka. Dan sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, sebagaimana Nabi Nuh AS memperingati kaumnya. (Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi SAW selalu berdoa dalam sembahyang Baginda yang bermaksud: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada dugaan dajjal dan aku berlindung daripada ujian hidup dan ujian mati. Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada hutang dan dosa." (Riwayat al-Jama’ah kecuali al-Bukhari)

Dajjal adalah makhluk

Dajjal yang Nabi Muhammad SAW suruh kita berdoa minta perlindungan tersebut adalah satu makhluk yang berzat dan berjisim seperti manusia. Yang akan keluar pada akhir zaman dan diberikan kemampuan kepadanya untuk beberapa perkara luar biasa.

Antaranya menghidupkan orang mati yang sudah dibunuhnya, dimilikinya kehidupan dengan segala kemegahannya di dunia, kemakmuran, syurga, neraka, diperintahkan turunnya hujan, diperintahkan untuk tumbuhnya subur, maka tumbuhlah bumi dengan tumbuh-tumbuhan.

Jelaslah apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, dajjal itu adalah makhluk seperti manusia, berbadan besar, pendek, berkaki bengkok, buta sebelah matanya, mata kirinya tidak nampak jelas dan yang sebelah kanannya kelihatan jelas seperti buah angur yang terapung, antara kedua matanya tertulis huruf “kaf” “fa” “ro”, berambut lebat dan kerinting.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS lalu membunuhnya.


Kisah Tamim Ad-Dari & dajjal

Kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bertemu dajjal ketika sesat dalam pelayaran di lautan selama sebulan bersama 30 orang daripada Bani Lakhm dan Bani Judzam, lalu berlabuh di sebuah pulau.

Di pulau tersebut mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya sehinggakan mereka sendiri tidak dapat membezakan antara bahagian depan dan belakang. Binatang tersebut mengatakan dia adalah mata-mata (jasasah).

Lalu haiwan itu berkata: "Wahai kaum pergilah kalian kepada orang yang berada dalam gua (dajjal), kerana dia merindukan berita dan kamu."

Tamim Ad-Dari dan sahabatnya lalu berangkat dan masuk ke gua. Di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat.

Lalu mereka bertanya: "Makhluk apakah kamu ini" dan dajjal menjawab: "Kamu mengetahui perihalku, kini beritahu kepadaku, siapakah kamu ini?." dan mereka menjawab: "Kami adalah manusia dari Arab."

Kemudian dajjal mula bertanya kepada mereka: "Beritahu kepadaku mengenai kurma Baisan." Mereka menjawab: "Sesungguhnya kurma itu hampir tidak akan berbuah."

Lalu si dajjal bertanya lagi: "Beritahu kepadaku tentang Tasik Thabaniyyah. Apakah tasik itu masih berair?." Jawab mereka: "Ya tasik itu masih banyak airnya. Sesungguhnya air tasik itu hampir habis."

Si dajjal berkata lagi: "Beritahu kepadaku tentang mata air Zughar." Jawab mereka: "Apa yang engkau hendak tanyakan? Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dari mata air itu?" Dan jawab dajjal:

"Ya, mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya masih bercucuk tanam dari air berkenaan,"

Kata dajjal: "Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang ramai adalah buta huruf, apa yang dilakukannya? Dia telah keluar dari Makkah menuju ke Yathrib." Apakah orang Arab memeranginya?, "Ya" jawab mereka,

Soal dajjal lagi: "Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka? Dia telah menundukkan orang Arab terdekatnya. Adakah demikian?". Mereka menjawab: "Lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya.”

Lalu dajjal berkata: "Aku akan memberitahu kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah al-Masih. Aku hampir diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali kota Makkah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap kali aku memasuki salah satu kota itu, aku dihadang malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh malaikat."

Sesungguhnya cerita Tamim Ad-Dari ini diceritakan oleh Fatimah daripada Rasulullah SAW. (Riwayat Muslim)

Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesunguhnya cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu juga mengenai kota Makkah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya dajjal itu berada di laut Syam atau di laut Yaman, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur." (Riwayat Muslim)


Fitnah dajjal

Zaman dajjal adalah zaman fitnah yang besar, ramai orang yang beriman pada pagi hari kemudian pada petangnya menjadi kafir. Hal ini menunjukkan betapa hebat godaan dan fitnah dajjal melanda kita.

Pada saat itu, kita yang kuat iman kepada ALLAH berasakan menjaga keimanan tersebut seperti menggenggam bara api yang panas dan sangat berat.

Maka ramailah yang melarikan diri ke hutan dan gunung untuk menjaga diri, akidah dan iman mereka daripada godaan dan fitnah dajjal. "Saat itu manusia benar-benar melarikan diri dari dajjal ke arah gunung. (Riwayat Muslim)

Semasa kedatangan dajjal manusia lebih memilih untuk lari menyelamatkan diri daripada menghadapinya kerana dikhuatiri diri tidak mampu menjaga akidah dan keimanan terhadap ALLAH. Kerana dajjal akan menganiaya mereka yang ingkar kepadanya.


Surah al-Kahfi

Daripada Abu Darda’, sesunguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada Surah al-Khafi, pasti terlindung daripada dajjal." (Riwayat Muslim)

Adapun untuk menyelamatkan diri daripada fitnah dajjal adalah menetapkan kesabaran dan membaca sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Khafi.

"Sesiapa antara kamu (yang hidup sampai) mendapati dajjal, hendaklah dibaca permulaannya Surah Al-Kahfi." (Riwayat Muslim)


Dajjal ujian ALLAH

Seluruh peristiwa yang menyalahi adat yang dilakukan dajjal itu bukan kerana kuasa dajjal. Melainkan kerana kekuasaan dan kehendak ALLAH untuk menguji kekuatan iman hamba-Nya.

ALLAH menciptakan dajjal sebagai makhluk penggoda dan menyesatkan umat yang beriman. Jika umat-Nya benar-benar teguh imannya, dia tidak mudah goyah akidahnya walaupun dirinya disakiti, dianiaya, difitnah bahkan dibunuh. Dia tetap teguh dengan keimanan dan ketaatannya kepada ALLAH SWT.

Segala kemampuan yang dimiliki oleh dajjal itu bersifat istidraj, bukan mukjizat atau bukan karamah. Kerana jelas dajjal itu adalah kafir yang menyesatkan, bukan nabi dan bukan orang yang soleh.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS dan membunuhnya.


Benteng fitnah dajjal

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan godaan dan fitnah dajjal di akhir zaman kelak. Antaranya:

- Memohon pertolongan daripada ALLAH SWT dengan perbanyakkan doa pelindung daripada fitnah dajjal ketika tasyahhadud akhir dalam solat.
- Menghafal sepuluh ayat pertama Surah al-Kahfi. Hendaklah menjauhkan diri daripada dajjal dan tidak sengaja mendekatinya. Hendaklah dia berusaha bermukim di Makkah dan Madinah.




Credit: Dr Fathul Bari Mat Jahya

No comments:

Post a Comment