Friday, 21 February 2014

Tolak fahaman ingkar hadis, sunah

Islam adalah agama fitrah yang selari dengan fitrah manusia. Ia sebagai cara hidup yang sempurna dan lengkap, merangkumi semua aspek kehidupan manusia yang meliputi aspek akidah, syariat dan akhlak. 

Jika dilihat dari sudut syariat, Islam membuat peraturan bagi mengatur perjalanan hidup insan dengan sebaik mungkin yang didasarkan kepada sumber perundangan Islam.


Empat sumber hukum dipersetujui jumhur ulama dalam perundangan Islam iaitu al-Quran, Sunah, Ijma' dan Qias. 

Tertib dan susunan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Muadz ibnu Jabal ketika beliau diutuskan Rasulullah SAW ke Yaman. 

Rasulullah SAW mengemukakan soalan dengan sabdanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: “Saya berhukum dengan kitab Allah”. 

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jika tidak ada dalam kitab Allah?”, dia menjawab: “Saya berhukum dengan sunah Rasulullah SAW”. Kemudian Rasulullah bersabda: “Jika tidak ada dalam sunah Rasulullah SAW?” Dia menjawab: “Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad).” Maka Rasulullah SAW menepuk ke dada Muadz dan bersabda: “Segala puji bagi Allah yang sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW.” (Riwayat at-Thabrani). 

Sumber perundangan Islam 
Percayalah dengan memahami sumber dipersetujui ulama yang menjadi rujukan sumber perundangan dalam Islam ia pasti dapat menjamin masyarakat daripada terkeliru ataupun dikelirukan. 

Janganlah kita mudah percaya sesuatu pandangan ataupun hujah tertentu yang hanya dikeluarkan berdasarkan emosi dan kepentingan peribadi semata-mata. 

Rujuklah dulu sumber yang jelas dan sahih. Malah dengan berpegang hanya kepada sumber diiktiraf oleh syarak dapat menyatukan ummah dan seterusnya menjamin ummah daripada berpecah-belah. 

Menjadi kewajipan setiap umat Islam mempercayai, menerima dan mematuhi setiap apa juga perintah disampaikan Rasulullah SAW kerana pertuturan yang keluar daripada Rasulullah SAW bukannya celoteh kosong, sebaliknya sebagai wahyu daripada Allah SWT. 

Sesungguhnya, wahyu al-Quran sudah lengkap dan sempurna, namun kita sebagai umat Islam memerlukan hadis atau sunah sebagai sumber perundangan untuk mengatur kehidupan. 

Sesungguhnya hadis iaitu segala yang bersandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan, perbuatan dan pengakuan memainkan peranan penting di samping al-Quran. 

Antara peranan itu ialah pertama, memperjelaskan apa yang terkandung dalam al-Quran. 

Kedua, memperincikan apa yang tidak diperincikan dalam al-Quran. Seperti yang kita maklum sifat al-Quran itu ringkas (Mujmal), maka peranan sunah itu untuk memperincikan seperti hadis yang menjelaskan hukum dalam solat. 

Ketiga, membataskan apa yang tidak dibataskan dalam al-Quran. Keempat, menetapkan sesuatu hukum yang tidak ada di dalam al-Quran, yang bertepatan dengan prinsip umum yang ada dalam al-Quran. 

Ini bermakna hadis adalah sumber yang amat penting bagi umat Islam kerana kedua-duanya saling bergantungan dan tidak dapat dipisahkan sama sekali. 

Yakinlah bahawa Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa sesiapa yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah akan terselamat daripada kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya.” (Riwayat al-Malik) 

Jika dulu, Islam pada zaman Rasulullah SAW diserang dari segenap arah, maka hari ini kita diserang dari pelbagai cara, sama ada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya. 

Isu akidah 

Isu akidah yang mencemarkan nama baik Islam seperti ajaran sesat, cubaan menukar agama, antihadis, Islam liberal, fahaman sekular, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, pluralisme dan komunisme, Syiah dan lain-lain lagi telah melanda dengan mudahnya. 

Umat Islam juga diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian termasuklah kemunculan gejala riddah dan perbuatan yang secara jelas menggugat kesucian Islam. 

Gejala ini muncul akibat ketidakfahaman umat Islam dalam ilmu agama serta tidak mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, di samping terpengaruh idea orientalis. 

Keadaan ini juga mewujudkan golongan yang mengingkari sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber syariat Islam sebaliknya mereka menerima al-Quran saja sebagai ikutan dan rujukan, sedangkan kedua duanya mempunyai hubungan yang rapat. 

Sebagai umat Islam yang percaya kepada Rukun Iman, beriman kepada Rasul dan Rukun Islam yang di dalamnya syahadah mengiktiraf Rasulullah sebagai pesuruh Allah SWT, maka kita hendaklah menolak fahaman sedemikian kerana menolak hadis Rasulullah bererti menolak kepercayaan kepada Rasulullah. 

Seperti kita diwajibkan mentaati Allah SWT, kita juga diwajibkan mentaati Rasulullah SAW. 

No comments:

Post a Comment