Friday, 28 February 2014

Telah nyata kebenaran Islam



FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya. (Ali-Imran: 19)

Di tengah-tengah senario umat Islam dituduh sebagai pengganas, dinafikan hak mereka di bumi sendiri, dimalukan dengan insiden-insiden yang tidak langsung memahami sensitiviti masyarakat Islam, namun siapa sangka agama Islam itu semakin mendapat perhatian penduduk dunia. 

Malah, kalau sebelum ini agama Kristian dikatakan menduduki tangga teratas sebagai penganut teramai, kini fakta itu telah berubah. Yang dibenci itulah yang kini sedang dicari-cari dan dicintai oleh insan-insan yang Allah SWT pilih. Subhanallah.



Buktiknya, jumlah penduduk dunia (2013) adalah 7,021,836,029. Sebaran maklumat menurut agama adalah: Islam 22.43 peratus, Kristian Katolik 16.83 peratus, Kristian Protestan 6.08 peratus, Orthodok 4.03 peratus, Anglican 1.26 peratus, Hindu 13.78 peratus, Buddha 7.13 peratus, Sikh 0.36 peratus, Yahudi 0.21 peratus, Baha 0.11 peratus, lainnya 11.17 peratus, Non Agama 9.42 peratus dan Atheists 2.04 peratus (www.30 days.net).




Bahkan dikatakan bahawa jumlah umat Islam pada 2012 adalah berjumlah lebih 2,000 juta. Sedangkan jumlah penganut Kristian dan Protestan adalah 2,000 juta. Sehingga Islam sekarang ini walaupun dibandingkan dengan penganut Kristian dan Protestan, sudah menjadi agama terbesar di dunia. (www.religiouspopulation).


Lima kali ganda

Menurut The Almanac Book of Facts, 2011, penduduk dunia (2011) berkembang 137 peratus dalam satu dekad terakhir, di mana Kristian berkembang hanya sebanyak 46 peratus, sebaliknya Islam berkembang sebanyak lima kali ganda iaitu 235 peratus. 



Disebutkan bila trend perkembangan ini terus berlaku, dijangkakan pada 2030, satu daripada tiga penduduk dunia adalah orang-orang Islam. (www.muslimpopulation.com).



Fakta ini senada dengan jangkaan Menteri Koordinator Politik Hukum dan Keamanan, Djoko Suyanto pada Persidangan Antarabangsa Cendikiawan Islam di Hotel Sultan, Jakarta, tidak lama dahulu. Beliau telah meramalkan bahawa pada 2025 nanti, umat Islam akan menjadi penduduk majoriti di dunia. Jumlahnya juga akan mendadak naik iaitu 30 peratus dari seluruh populasi warga bumi atau seperempat penduduk dunia.



Dalam persidangan yang bertemakan ‘Meningkatkan Solidaritas dan Kesatuan Muslim Dunia’ (Upholding Solidarity and Unity in the Moslem World) itu, Djoko turut meramalkan umat Islam akan mengambil peranan utama dalam bidang keilmuan dunia.



Sementara itu, jika dilihat pecahan mengikut benua, data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (2012) menunjukkan, sejak 1989 sehingga 2012, perkembangan jumlah penganut agama Islam yang paling cepat berkembang di Australia dan Oceania/Pacific iaitu 257.01 peratus, diikuti oleh Eropah 142.35 peratus, Amerika 25 peratus, Asia 12.57 peratus, Afrika 2.15 peratus dan Amerika Latin 4.73 peratus (www.30-days.net).



Menurut The Almanac Book of Facts (2011) lagi, dalam 10 tahun terakhir, penduduk dunia bertambah sebanyak 137 peratus. Di mana penganut agama Kristian bertambah sebanyak 46 peratus. Sedangkan penganut agama Islam bertambah sebanyak 235 peratus (www.geocities.com).



Dapat disimpulkan di sini, Islam adalah agama dengan perkembangan penganutnya yang tertinggi di dunia setiap tahun. Hal ini diperkukuhkan dengan fakta yang dipetik daripada Guinness Book of World Records, 2011 di mana antara 1990 hingga 2000, diperkirakan sekitar 12.5 juta orang daripada pelbagai agama, berhijrah kepada agama Islam.



Dapatan daripada tinjauan pendapat di Amerika Syarikat, didapati sekitar 200,000 orang setiap tahun berhijrah akidah dari agama Kristian kepada agama Islam (www.usislam.org).



Suatu penyelidikan yang dibuat oleh Faith Matters (2011) di Eropah, didapati bahawa dalam 10 tahun terakhir diperkirakan jumlah orang Inggeris yang bertukar daripada agama lain (Kristian) menjadi Muslim ialah seramai 5,000 orang setiap tahun (http://insideislam.wisc.edu).









Credit: IBRAHIM ABDULLAH

No comments:

Post a Comment