Monday, 3 February 2014

Larangan tabur fitnah, dedah keaiban orang

Perbuatan sengaja mendedahkan keaiban orang lain sama ada dalam bentuk fizikal atau sikap adalah bertentangan dengan apa yang digariskan dalam Islam. 

Ia boleh menjatuhkan maruah seseorang dan lebih malang ia boleh menyebabkan perbalahan jika mangsa mendapat tahu dirinya menjadi topik perbualan.


Hakikatnya, seorang Muslim yang teguh imannya dan cintakan Allah SWT serta Rasul pasti tidak akan menceritakan keaiban orang lain kerana ia akan mencemarkan imej saudaranya. 

Sebaliknya, apa yang digalakkan dalam Islam menerusi sunnah Rasulullah ialah berusaha untuk merahsiakan keaiban saudaranya. Malah, merahsiakan aib orang lain turut memperoleh ganjaran setimpal dari Allah SWT. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutup aib orang lain di dunia kecuali Allah menutup aibnya di akhirat”. (Riwayat Muslim) Walaupun begitu, masih ada dalam kalangan masyarakat Islam hari ini yang suka menabur fitnah dan mendedahkan keburukan kawan atau saudaranya tanpa mempedulikan dosa, larangan agama dan akibatnya. Mereka yang sanggup berbuat demikian ini seperti terlupa dengan peringatan agama bahawa setiap Muslim itu bersaudara, tidak boleh mengkhianati dan menjatuhkan nilai diri saudaranya sehingga menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai. 

Jaja keburukan orang amalan keji 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Muslim adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan sesiapa melapangkan suatu kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan sesiapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat”. (Riwayat Muslim).
Seseorang yang menjaja cerita keburukan saudaranya kepada masyarakat disebut pengumpat. Ia satu amalan keji yang amat dibenci Allah SWT.
Bagaimanapun, ada yang berpandangan jika mendedahkan perkara yang benar, ia bukan perbuatan mengumpat. Pandangan ini tidak tepat sama sekali dan tidak boleh dipercayai. 
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah berkata: “Katakan wahai Rasulullah apakah mengumpat itu?” Baginda bersabda: “(Mengumpat) adalah kamu menyebutkan mengenai saudaramu sesuatu yang dibenci”. Dia bertanya: “Beritahukanlah kalau pada dirinya terdapat apa yang aku katakan, maka kamu telah mengumpatnya dan kalau pada dirinya tidak terdapat apa yang kamu katakan, maka kamu telah membohonginya dengan dusta yang besar.” (Riwayat Muslim) Hakikatnya, di akhirat nanti, pengumpat atau pendedah aib orang lain akan menerima balasan azab tak terperi daripada Allah SWT. 

Ia terkandung dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka mendedahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nur ayat ke-19)

No comments:

Post a Comment