Tuesday, 18 February 2014

Huzaifah penguasa Madain

PADA tahun 16 Hijrah, Madain jatuh ke tangan kaum Muslimin. Bandar Persia yang indah dan kaya ini berjaya ditundukkan oleh Saad bin Abi Waqqas. Berita kemenangan ini segera dikirimkan kepada Khalifah Umar bin Al-Khathab di Madinah.

Ahli Madain yang masih beragama Majusi mulai bertanya-tanya, siapakah kira-kira tokoh yang akan diutus Umar untuk menjadi penguasa baharu di bandar ini?

Tidak lama kemudian surat perintah daripada Khalifah Umar pun tiba. Surat itu lalu dibacakan di hadapan seluruh ahli Madain. Umar menulis: “Aku telah mengutus Huzaifah bin Al-Yaman kepada kalian. Tunduk dan patuhlah kepadanya."

Mendengar isi surat ini, ahli Madain yakin bahawa Huzaifah pastilah sangat terhormat. Mereka lalu bercadang untuk menyambut kedatangan beliau secara besar-besaran. Matlamatnya hanya satu, iaitu agar terbina hubungan baik antara mereka dengan penguasa baharu ini.

Pada hari yang dijadualkan ketibaan Huzaifah, para pembesar Majusi ini keluar untuk menyambutnya. Mereka memakai baju-baju kebesaran yang sangat mewah. Kendaraan dan arak-arakan telah pun dihias dengan sangat indah. Mereka menunggu di pintu gerbang negeri.

Namun setelah penat menunggu hingga petang, mereka tidak menemui sesiapa yang mereka sangka merupakan utusan Umar dari Madinah.

Mereka hanya melihat seorang laki-laki Arab yang berpenampilan sederhana meminta laluan. Ia datang dengan menunggang keldai sambil menyimpang kaki dan memakan roti kering. Ia sama sekali tidak seperti orang besar, justeru mereka membiarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mempedulikannya.

Seorang tentera Muslim kebetulan berlalu di tempat itu. Mereka lalu bertanya kepadanya, “Di mana amir (gabenor) kalian?" Muslim ini menjawab: “Huzaifah sejak tadi telah masuk ke Madain."

Para pembesar Madain ini menjadi terkejut bukan kepalang. Mereka baru tersadar, ternyata “laki-laki Arab miskin" yang tak dipedulikan itu ialah penguasa Madain yang baharu datang dari Madinah. Mereka segera berlarian mengejar Huzaifah untuk meminta maaf daripadanya.


Hidup sederhana

Huzaifah membuktikan bahawa menerapkan gaya hidup sederhana tidak menjatuhkan darjat seseorang. Beliau tetap seorang penguasa meski hanya berkendaraan keldai dan berpakaian seadanya. Sementara penduduk Madain tetap rakyat biasa meski mereka berpakaian mewah dan berkendaraan mahal.

Demikianlah para sahabat Nabi SAW. Mereka besar dan terhormat kerana prestasi yang mereka lakukan. Nilai mereka ditentukan oleh amalan mereka, bukan jabatan dan pakaian mereka.

Mereka selalu ingat sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan hartamu. Akan tetapi Allah memandang kepada hati dan amalanmu. (riwayat Muslim)

Jawatan dipandang sebagai amanah, bukan kebanggaan. Justeru, para sahabat tidak pernah angkuh kerana jawatan yang disandangnya. Setinggi mana jawatan seseorang itu, mereka tetap bersikap dan berperilaku seperti manusia biasa.

Tha’labah bin Abi Malik Al-Qurazi bercerita: “Abu Hurairah seringkali pulang ke rumah dari pasar sambil memikul kayu bakar untuk keluarganya. Padahal pada saat itu beliau seorang amir (gabenor) di Madinah. Beliau berkata: Berikan laluan untuk amir, berikan laluan untuk amir."


Cara pandang

Sikap yang diperlihatkan oleh Huzaifah dan Abu Hurairah ini tentunya sangat berbeza dengan cara pemikiran ahli Madain pada masa itu. 

Bahkan, sangat berbeza dengan logik sekular kita pada masa ini.
Kebanyakan daripada kita sangat mementingkan penampilan luaran kita dan kurang memperhatikan penampilan dalaman kita. Padahal penampilan dalaman itulah yang akan menjadi pusat perhatian Allah SWT.

Sebahagian kita malu apabila memakai baju ronyok dan tidak kemas. Pada masa yang sama, ia tidak malu menerima rasuah, berdusta dan memfitnah. Padahal perbuatan ini sangat kotor dan buruk di mata Allah Yang Esa.

Sebagai penganut Ahli Sunnah wal Jamaah yang mendakwa cinta kepada sahabat Nabi dan menjadikan mereka sebagai tauladan, kita mesti merubah cara pandang ini. 

Mulai dari sekarang, jadikan pandangan Allah SWT lebih mulia daripada pandangan manusia. Wallahu a’lam.




Credit: Umar Muhammad Noor

No comments:

Post a Comment