Wednesday, 5 February 2014

Hakikat kehidupan dunia

SETIAP orang di dunia ini diberi peluang untuk berbuat kebaikan, bersegera mencapai keredaan Allah SWT dan bertaubat sebelum terlambat.

Sehubungan dengan itu Allah SWT membawa satu pendekatan motivasi dan semangat kepada hamba-hamba-Nya iaitu pendekatan berlumba-lumba untuk mengerjakan amalan kebaikan bagi mendapat keampunan dan juga pembalasan syurga.

Firman Allah SWT: Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. (al-Hadid: 21)

Perlumbaan di sini membawa maksud perlumbaan melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Allah SWT juga menceritakan tentang sikap Nabi Zakaria a.s melalui firman-Nya: Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (al-Anbiya’: 90)

Siang dan malam silih berganti menurut pusingan cakerawala yang sentiasa bergerak dan pasti Allah SWT tidak menjadikannya dengan sia-sia. Kehidupan ini adalah ibarat gelanggang yang disediakan untuk pertandingan di mana orang yang berjaya mencapai kemenangan adalah orang yang mengenal Tuhan dan melaksanakan hak yang wajib ditunaikan serta bersegera memanfaatkan waktu yang ada.

Tokoh tasawuf terkenal, Hassan Al Basri menyebut, “Tiada satu hari yang fajarnya menyinsing melainkan diseru. Wahai anak Adam, aku satu makhluk yang baharu (suatu hari yang baharu) dan menyaksikan semua amalanmu maka ambillah bekalan daripadaku. Sesungguhnya apabila aku berlalu pergi, aku tidak akan kembali lagi sehingga hari kiamat."

Bersandarkan kata-kata Hassan Al Basri di atas, adalah suatu perkara yang menyedihkan bila kita melihat orang yang tidak menghiraukan kehilangan waktu dan pada masa yang sama menambah dosa mereka dengan mengajak orang lain mengikuti mereka dalam kerja-kerja yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Islam menyarankan agar setiap Muslim mengambil faedah daripada ruang masa tersebut supaya tekun dalam melaksanakan kerjanya walaupun kerja itu kecil dan dipandang ringan. 

Sabda Rasulullah SAW, Wahai manusia, ambillah kerja-kerja itu mengikut keupayaanmu. Sesungguhnya, Allah tidak jemu sehingga kamu terlebih dahulu merasa jemu. Dan sesungguhnya, sekasih-kasih amalan di sisi Allah adalah melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan berterusan walaupun sedikit. (riwayat Bukhari)


Mencari pahala

Dalam konteks perlumbaan mencari pahala, Rasulullah SAW menjelaskan betapa kebaikan perlu direbut dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh. 

Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh hasad kecuali pada dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu dia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah SAW, Bersegeralah kamu mengerjakan amal soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah paginya kafir, dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit. (riwayat Bukhari)

Keampunan Allah adalah matlamat yang ingin dicapai oleh setiap mukmin dan ia hanya boleh dicapai dengan perlumbaan mencari kebaikan, di samping usaha yang sungguh-sungguh bagi mencapainya dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT. Ia tidak diperoleh jika sikap malas dan mengambil mudah menyelubungi diri.

No comments:

Post a Comment