Sunday, 12 October 2014

Pengemis jadi jutawan

HE Rongfeng (kiri) bergambar bersama Dai Xingfen (tengah) dalam satu pertemuan yang diadakan baru-baru ini. - AGENSI

BEIJING 11 Okt. - Seorang usahawan berjaya di negara ini yang juga merupakan bekas pengemis, bertindak menghadiahkan wang tunai satu juta yuan (RM530,000) kepada seorang wanita budiman yang pernah membantunya suatu ketika dahulu.

Laman web Oddity Central me­laporkan, kira-kira 21 tahun lalu, He Rongfeng yang pada ketika itu berusia 17 tahun terpaksa mengemis di bandar Taizhou, wilayah Zhejiang untuk menyara kehidupan keluarganya.
"Saya bersama dua orang rakan mencari pekerjaan di Taizhou, tapi kami gagal dan akhirnya terpaksa mengemis. Ketika itu kehidupan kami sangat 
susah sehingga tiada wang untuk membeli makanan.

"Ketika kami hampir putus harapan datang seorang wanita iaitu Dai Xingfen, isteri kepada peniaga kedai makanan dan bawa kami pulang ke rumahnya selain diberi makan dan tempat untuk tidur," kata Rongfeng.
Jelas Rongfeng, Xingfen turut menyediakan air panas untuk merawat kakinya yang melecur selain menghubungi beberapa orang kenalan untuk menyediakan peluang kerja kepada mereka di bandar lain.

"Wanita itu turut memberi nasihat yang telah mengubah nasib saya. Katanya, tidak mengapa jika tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi haruslah sentiasa berusaha untuk menjadi orang yang baik," ujarnya yang kini merupakan pengerusi sebuah syarikat perusahaan perabot, Shenyang Jiu Jiu Li Feng Group.

Kata Rongfeng lagi, jika tidak kerana jasa baik Xingfen, dia tidak akan mengecapi kejayaan dan berhasrat untuk menghadiahkan sejumlah wang yang besar sebagai ucapan terima kasih.

Bagimanapun, Xingfen menolak untuk menerima wang berkenaan dengan berkata, dia tidak pernah mengharapkan sebarang balasan di atas setiap 
pertolongan yang dihulurkan.

No comments:

Post a Comment