Saturday, 18 October 2014

Siapakah Majidah??

Seorang gadis yang tampak biasa mendapat sambutan luar biasa semasa solat jenazahnya. Kenapa?


KELUARBIASAAN MAJIIDAH: Dalam gambar atas, Majiidah (dua dari kanan) antara anggota paling aktif dalam The W.R.I.T.E. Club di Masjid Al-Istiqamah. – Foto JOHARI RAHMAT -

SIAPAKAH sebenarnya gadis bernama Majiidah? Qariah, Cik Majiidah Haji Khamsani, meninggal dunia pada usia muda 21 tahun beberapa hari lalu. Dewan solat dan aras atas Masjid Assyafaah di Sembawang hinggakan sesak dengan sekitar 400 orang semasa solat jenazahnya.

Malah, solat itu diimamkan Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram, dengan turut disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dan presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan. 

Apabila saya melangkah keluar meninggalkan masjid itu bersama seorang rakan sekerja saya, beliau tiba-tiba berkata: "Alangkah seronoknya sekiranya aku pun disolatkan sebegitu nanti?" Beliau ibarat menjawab luahan perasaan Allahyarhamha Majiidah dahulu - sama ada solat jenazahnya akan dihadiri ramai orang memandangkan beliau 'orang biasa'.

Siapa Majiidah?

Seorang gadis yang tampak biasa mendapat sambutan luar biasa semasa solat jenazahnya. Kenapa?

http://beritaharian.sg/setempat/siapa-majiidah

Mungkin bagi sesetengah kita, sambutan luar biasa itu kerana keluarga Majiidah bukan calang-calang orangnya - ayahnya, Haji Khamsani Karim, 56 tahun, dan anak beliau, termasuk Allahyarhamha, kerap menyertai majlis tilawah Al-Quran kebangsaan. Ada juga menjadi johan dan kemudian mewakili Singapura.

Mungkin juga sesetengah kita menganggap kisah Majiidah membuktikan betapa besarnya pengaruh media sosial - misalnya, catatan abangnya, Tamliikha, di Facebook mengenai pemergian Majiidah begitu menyentuh hati sehingga menarik hampir 1,000 'Like'.


KELUARBIASAAN MAJIIDAH: Antara yang menghadiri solat jenazah Allahyarhamha Majiidah ialah Dr Yaacob Ibrahim (paling kiri dalam gambar atas). – Foto JOHARI -

Mungkin juga bagi sesetengah kita yang lain, Majiidah mendapat simpati ramai pihak kerana menghidap sakit ginjal dan lupus sejak bertahun lalu. Ssecara peribadi, saya mengenali Majiidah sejak sekitar lima tahun lalu - apabila saya merintis The W.R.I.T.E. Club, satu kumpulan sukarelawan belia dan ibu bapa di bawah naungan Masjid Al-Istiqamah.

Teringat saya Majiidah menarik kawannya menghadiri kelas pertama kewartawanan Islam yang saya kendalikan. Beliau kecil molek saja, tetapi cukup matang orangnya. Dari acara pertama sehinggalah acara kali terakhir kelab tersebut sekitar tahun lalu, beliau terus bergiat menyumbang jasa.

Memang saya tahu beliau sakit sejak dulu lagi, tetapi jarang sekali sepanjang penglibatannya dalam kelab itu beliau memperlihatkan kesakitannya itu. Saya turut melihat perkembangan individunya sebagai qariah - beliau begitu cinta pada Al-Quran sehingga sanggup mengajarnya kepada peserta kegiatan kelab kami.

Namun, sekuat sayangnya kita padanya, tampak beliau lebih disayangi oleh Tuhan Maha Pencipta, yang mengambilnya semula pada usia begitu muda, sebelum potensi penuhnya terserlah di dunia.

Pada akhirnya, bagi saya Majiidah seorang gadis yang luar biasa kerana 'kebiasaannya' - seorang gadis Muslimah yang berpegang teguh pada prinsipnya.

Beliau tidak perlu menarik perhatian dengan aksi sensasi atau tidak senonoh, sebagaimana gelagat sesetengah belia zaman ini. Beliau membiarkan bakatnya berbicara.

Beliau giat menulis sehingga pernah memenangi peraduan. Tahun lalu, beliau muncul cemerlang di Open Universiti Malaysia (OUM). Jadi, siapakah sebenarnya Majiidah? Soalan lebih tepat, mengenang perjalanan hidup Majiidah, berbandingnya siapalah kita?




Credit: A. Rahman Basrun

No comments:

Post a Comment