Friday, 31 October 2014

Berfikirlah sebelum berkata

SALAH satu antara banyak nikmat Allah SWT yang begitu besar ialah nikmat lidah. Dengannya kita mampu bertutur dan berkomunikasi dengan baik dan sempurna.

Cuba bayangkan keadaan tidak mampu bercakap, pasti hidup dirasakan serba kekurangan, sekalipun harta melimpah ruah. Menjadi suatu kewajipan bagi kita mensyukuri nikmat itu dengan menggunakannya ke arah kebaikan.                  

Namun, hari ini kita dapat saksikan betapa dahsyatnya lidah ini jika tidak dijaga. Sungguhpun ia tidak bertulang, kecil dan tampak lemah, tapi lidah ini mampu melukakan hati ramai insan, membinasakan hubungan persaudaraan dan mewujudkan permusuhan yang berpanjangan. Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan lidah ini kerana sedia maklum akan bahayanya jika ia tidak dijaga.

Al-Quran menggariskan panduan yang jelas yang mana jika ia direnungi dan diamalkan dengan baik, pasti menjadikan kita lebih berhati-hati dalam percakapan seharian. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyebutkan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik), maka amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (al-Hujurat :11) 

Ayat ini jelas menunjukkan larangan menyebutkan keaiban dan memburuk-burukkan orang lain tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak. 

Ini kerana, kebiasaannya pergaduhan timbul bermula dengan amalan memburuk-burukkan orang lain yang kemudiannya membawa kepada pertengkaran, seterusnya permusuhan atau mungkin lebih teruk daripada itu.

Jika budaya memburu-burukkan orang lain dapat dielakkan, pasti mudarat yang lebih besar akan dapat dicegah. Ini merupakan tanggungjawab setiap individu yang dituntut oleh Islam.

Sentiasalah berfikir sebelum mengucapkan apa-apa perkataan. Bukan sahaja setakat memikirkan apa yang hendak diucapkan bahkan hendaklah kita berfikir apa akibat daripada ucapan tersebut. Adakah ia membuahkan kebaikan ataupun kemudaratan. Jika ia tidak membawa sebarang kebaikan, sebaiknya kita diam sahaja daripada mengucapkannya. 

Hal ini disebutkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik-baik atau diam. (riwayat Al-Bukhari)

Menjaga lidah merupakan amalan yang susah untuk dilakukan tanpa ilmu dan latihan yang berterusan. Usaha ini memerlukan tekad yang kuat dan persekitaran yang membina. 

Cubalah melatih diri setiap hari untuk kurang bercakap melainkan apabila perlu kerana dengan kurangnya bercakap akan menutup banyak pintu-pintu keburukan yang mampu terhasil daripada
lidah.

Hari ini, para agamawan juga tidak terlepas daripada bahaya lidah ini. Saban hari kita melihat sebahagian agamawan bergaduh sesama sendiri, saling memburukkan, mengumpat mereka yang tidak sehaluan dengannya, bahkan ada yang terjebak dengan budaya memfitnah. 

Jika agamawan yang diharapkan untuk membimbing umat pun tidak mampu membimbing diri sendiri, bagaimana agaknya nasib umat yang sentiasa perlukan bimbingan? Kerana itu para agamawan sentiasa memperbaiki amalan diri sendiri berbanding melihat kekurangan orang lain.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ketika aku dimikrajkan (diangkat ke langit), aku melewati suatu kaum yang kuku mereka dibuat daripada tembaga. Kuku itu mereka gunakan untuk mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu bertanya: “Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril menjawab: “Mereka itulah orang yang memakan daging manusia (iaitu mengumpat) dan merosakkan kehormatan mereka (fitnah).” (riwayat Abu Daud)

Semoga kita semua dapat melatih diri untuk berhati-hati dalam menuturkan sesuatu perkataan. Boleh jadi ucapan itu tampak remeh tapi mampu melukakan hati orang lain. Hal ini sama juga dalam penulisan di alam maya, khususnya. Tulisan itu semua tidak ubah seperti mulut kita yang berbicara, hanya ia tidak bersuara. Wallahua’lam. 

No comments:

Post a Comment