Thursday, 23 October 2014

Pencerahan isu anjing

Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia diharuskan.
Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia diharuskan. - Gambar hiasan

ANJING guna diperlukan untuk menjaga keselamatan. - Gambar hiasan
ANJING guna diperlukan untuk menjaga keselamatan. - Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini umat Islam dikelirukan dengan persoalan menyentuh
KEBELAKANGAN ini umat Islam dikelirukan dengan persoalan menyentuh anjing. - Gambar hiasan

Ia adalah isu fikah yang terdedah kepada ijtihad dalam kalangan para ulama

Adakah anjing itu dikira sebagai najis?                  

Dalam al-Quran, ada disebutkan anjing di beberapa tempat. Antaranya kisah Ashab al-Kahfi bersama anjing mereka. Dinyatakan dalam surah al-Kahfi ayat ke-22 tentang perbezaan bilangan ashab al-kahfi, namun seekor anjing yang bersama mereka disebutkan seiring bersama.

Sementara itu, dalam riwayat hadis, disebut tentang hukum jilatan anjing. Dalam hadis ini, pedoman nabawi ialah agar dibasuh bejana atau sesuatu yang dijilat oleh anjing. Basuhannya adalah dengan tujuh kali basuhan di mana basuhan yang pertama adalah dengan air tanah.

Daripada hadis-hadis ini, terdapat perbezaan pendapat daripada kalangan para ulama tentang hukum anjing, sama ada ia najis atau tidak.

Dalam mazhab Imam Syafie, anjing dihukum sebagai najis mughallazah (berat). Namun, mazhab Imam Malik menyatakan bahawa anjing tidak najis. Ini kerana perintah di dalam hadis ialah sekadar jilatan anjing sahaja.

Maka dalam khazanah fikah, terdapat dua pendapat yang berbeza tentang hukum anjing, sama ada najis atau tidak. Satu mazhab menyatakan anjing adalah najis. Ini adalah pendapat majoriti para ulama. Manakala satu lagi mazhab menyatakan tidak najis. Ini adalah pendapat Imam Malik.

Bolehkah kita individu Muslim memegang anjing? Setakat kajian, tiada ditemui setakat ini satu nas syarak al-Quran dan hadis yang mengharamkan Muslim untuk memegang anjing. Maksud memegang di sini adalah memegang anjing dengan tangan.

Maka dalam hal ini, kita mengambil jalan tengah. Jika wujud keperluan untuk memegang anjing maka ia adalah baik. Contohnya merawat anjing yang sakit, membantu anjing yang tersepit, mengeluarkan anjing yang terperangkap di dalam lubang yang agak dalam dan sebagainya. 

Bagi doktor veterinar, anggota polis yang menjaga anjing dan sebagainya maka ada keperluan untuk golongan ini memegang anjing.

Namun jika tiada keperluan, maka tidaklah perlu untuk individu Muslim memegang anjing. 

Pada masa yang sama, kita juga belum menemui satu catatan hadis bahawa Nabi SAW memeluk anjing dan mencium anjing. Kita juga belum menemui amalan dalam kalangan para sahabat dan para ulama silam untuk memeluk dan mencium anjing. Maka tiada kewajaran untuk bermesra dengan anjing sehingga memeluk dan mencium anjing. 

Ini kerana beberapa perkara. Antaranya kerana anjing adalah najis berdasarkan pendapat majoriti ulama dan amalan di Malaysia.

Selain itu, ia juga bertentangan dengan kefahaman dan amalan masyarakat Islam di Malaysia. Maka agak pelik jika ada Muslim yang memeluk dan mencium anjing. 

Adakah Islam menganjurkan umat Islam membenci anjing? Islam tidak menganjurkan perkara demikian. Anjing adalah makhluk Allah. Anjing wajar dilayan dengan baik. Contohnya tidak ditendang, dibaling batu, dilastik dan sebagainya jika anjing tidak memberi bahaya kepada manusia.

Namun, jika anjing memberi bahaya seperti anjing liar yang ganas atau anjing gila, maka insan wajar mengambil tindakan yang perlu untuk memelihara keselamatan dirinya. Berbuat baik kepada makhluk Allah mendapat pahala yang besar.

Dalam hadis Nabi SAW diceritakan tentang seorang insan yang membantu seekor anjing yang dalam keadaan dahaga, kerana tindakan tersebut, maka dosa insan tersebut diampunkan Allah SWT. Hadis ini memberi gambaran bahawa berbuat ihsan terhadap haiwan walaupun ia seekor anjing.

Maka Islam tetap menuntut agar anjing dilayan dengan baik. Maka anjing yang wujud dalam masyarakat kita tidak perlu diganggu kecuali jika wujud mudarat.

Adakah memegang anjing merosakkan iman sehingga menjadi kafir? Isu memegang anjing tidaklah termasuk dalam isu akidah yang menjadi pembeza antara iman dan kufur.

Ia adalah isu fikah. Isu fikah ini terdedah kepada ijtihad dalam kalangan para ulama. Contohnya seseorang yang memegang pendapat bahawa anjing tidak najis. Pendapat ini bertentangan dengan pendapat majoriti para ulama. Namun ia tidak merosakkan akidah sehingga menjadi fasik atau kafir.

Bagi golongan mualaf yang baru menganut Islam, tidak sewajarnya kita sebagai Muslim baru membenci anjing sehingga kita tidak mahu balik ke rumah ibu bapa atau adik-beradik kita yang masih belum menerima Islam.

Keluarga kita yang bukan Muslim memelihara anjing kerana keperluan dan kebiasaan mereka. Hukum anjing adalah isu fikah yang wajar diimbangi dengan toleransi. Jika ia najis, maka Islam memberi ruang untuk pembersihan dengan kaedah sertu. Apa yang penting, hubungan kekeluargaan tetap utuh.





Bersama AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (al-Jarumi) 
Pensyarah, Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment