Monday, 15 September 2014

Terlalu sedih buat hati jadi mati



Dr Aidh bin ‘Abdullah al-Qarni Islam di dalam bukunya yang terlaris, La Tahzan (Jangan Bersedih) menyampaikan satu nasihat kepada umat supaya jangan terus menerus bersedih. 
Sesungguhnya bersedih itu membuatkan hati menjadi mati.
Jangan bersedih kerana sedih akan mengganggu mengingatkan kita kembali kepada zaman lalu.
 Kesedihan itu hanya membawa kepada kerisauan mengenai kemungkinan yang akan berlaku kepada masa depan, seterusnya membuatkan kita terperuk di dalam bilik meratapi kemungkinan yang belum terjadi.
Jangan bersedih kerana rasa sedih itu menghilangkan seri pada wajah. Wajah menjadi suram, suasana persekitaran juga menjadi kelam. Semangat yang tersisa semakin menghilang dan harapan serta optimis menjadi sirna. 

Jangan bersedih kerana kesedihan membuatkan musuh menjadi gembira, orang yang dengki mengambil peluang dan menyebabkan kawan semakin menjauh.

Jangan bersedih kerana kesedihan yang melampau umpama menentang qada dan qadar yang ditetapkan.

Jangan bersedih kerana rasa sedih tidak akan mengembalikan sesuatu yang hilang dan yang berlalu pergi. Tidak dapat menolak takdir dan tidak mendatangkan sebarang manfaat. 


Jadilah diri sendiri 

Perkembangan mutakhir di negara ini membimbangkan dengan kes bunuh diri yang semakin meningkat. Tidak kurang juga akibat desakan hidup yang akhirnya boleh mendatangkan ‘kecederaan’ kepada mental seseorang sehingga menjadikannya kurang siuman. 

Dalam menghadapi situasi sukar ini, ramai yang terjatuh dan dilihat gagal bangkit menghadapi dugaan ini sehingga mengharapkan dirinya menjadi seperti orang atau makhluk lain. 


Ada yang berharap untuk tidak menjadi dirinya apabila ditimpa sesuatu musibah. Apabila melihat burung, dia mengatakan: “Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti burung. Bebas bergerak ke sana ke mari, boleh melepaskan diri daripada menjadi buruan orang.” 

Apabila melihat budak kecil yang seronok bermain, dia mengatakan pada dirinya: “Alangkah baiknya jika aku seperti budak itu. Seronok bermain tanpa memikirkan apa-apa masalah.” 

Ketika lalu di tepi rumah banglo milik orang kaya, dia berkata pula: “Alangkah baiknya jika aku menjadi seperti orang kaya di dalam rumah ini. Tentu tidak pernah berdepan masalah kewangan dan bebas memiliki apa saja.” 

Kita boleh mengeluh dan mengeluh, tetapi keluhan itu hanya membunuh jiwa yang sudah lemah. Keluhan itu juga tidak akan membuatkan kita menjadi seperti apa yang kita mahukan. 




Jadilah diri sendiri kerana orang lain hanya watak yang menempel di dalam kehidupan kita. Jadilah diri sendiri kerana orang yang mempunyai jati diri sentiasa yakin dapat menghadapi segala rintangan yang terbentang di depannya. 

Setiap kesusahan pada hari ini sebenarnya adalah tiket untuk kesenangan pada masa depan, selagi mana kita bersabar dan yakin dengan perancangan Allah terhadap diri kita. 

Ada antara kita terpaksa bertungkus lumus untuk mencari sesuap nasi. Itu sebenarnya adalah ujian kerana Allah mahukan dia menghargai setiap kurniaan rezeki kepadanya pada masa dia senang nanti. 


Ia juga supaya dia sentiasa beringat saat-saat sukar dulu, mudah-mudahan dia memahami kesusahan orang yang pernah melalui zaman sepertinya, lantas tidak lokek menghulurkan bantuan. 

Ada juga yang dikurniakan anak istimewa yang memerlukan lebih banyak kesabaran, tetapi kesabaran itu sebenarnya antara tiket yang dijanjikan Allah untuk memasuki syurga pada kehidupan selepas itu. 

Jadilah diri sendiri kerana hanya kita yang dapat mengubah nasib kita. Jangan sesekali lari daripada masalah. Berdepanlah dan bunuhlah masalah itu sebelum ia sempat menjadi virus untuk membunuhmu.


Credit: Mohd Hassan Adli Yahaya

No comments:

Post a Comment