Tuesday, 30 September 2014

Bahaya hidup menunjuk-nunjuk

BURAIDAH bin Husaib al-Aslami seorang pejuang Islam yang gagah berani. Selepas masuk Islam pada tahun kedua hijrah, beliau ikut serta dalam banyak peperangan bersama Nabi SAW. Salah satunya ialah perang Khaibar yang mengambil masa beberapa hari untuk menundukkan benteng Yahudi.

Buraidah bercerita: “Aku ikut serta dalam perang Khaibar. Aku termasuk salah seorang tentera yang memanjat benteng musuh, lalu bertempur di sebuah tempat tinggi sehingga terlihat semua orang. Terlebih lagi, baju yang aku pakai pada masa itu berwarna merah."

Secara sekilas, apa yang dilakukan Buraidah ini sangat membanggakan. Namun bagi Buraidah, perbuatan itu sangat disesalkan. Sebab ia seolah-olah satu perbuatan menunjuk-nunjuk kehebatan dirinya di hadapan orang ramai agar dikenali. Perbuatan tersebut dibimbangi termasuk dalam kategori riak.

Buraidah berkata: “Aku tidak pernah melakukan dosa yang lebih besar dalam Islam daripada perbuatan itu." (Siyar a’lam al-Nubala)


Pujian manusia

Para sahabat Nabi SAW sangat jauh daripada sifat ingin menunjuk-nunjuk. Sedapat mungkin mereka berusaha agar amal ibadah mereka tersembunyi. Mereka suka hanya Allah SWT yang melihat perbuatan itu, bukan manusia.

Itu kerana keinginan untuk memperlihatkan amalan kepada orang lain termasuk dalam bentuk riak. Allah SWT enggan menerima amalan yang bercampur dengan sifat riak. Sebab pelakunya tidak mengharapkan pahala daripada-Nya semata, melainkan menginginkan juga pujian daripada manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah berfirman: Aku paling tidak memerlukan kepada sekutu. Sesiapa yang melakukan suatu amalan sambil mempersekutukan diri-Ku dengan yang lain, maka Aku berlepas daripadanya. Amalan itu untuk pihak yang disekutukannya itu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, siapa yang inginkan ganjaran sempurna daripada Allah SWT, hindari sikap ingin menunjuk-nunjuk dengan amalan. Usah isytiharkan kepada semua orang ibadah yang kita lakukan.
Media sosial


Bagi anda yang suka mengemas kini status peribadi di media sosial, berhati-hatilah. Jangan setiap aktiviti kebaikan dan ibadah yang anda lakukan dikongsikan untuk tatapan ramai. Apatah lagi memang disengaja untuk menarik “like" dan pujian daripada rakan-rakan maya.

Mungkin anda memang tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk, namun tipu daya syaitan sangat halus. Boleh jadi, tanpa sedar semua pahala amalan anda telah terhapus. Tidak berguna pujian manusia apabila Allah SWT menolak amal ibadah kita.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastuti: “Seorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa guna pujian manusia jika kita tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?"

Mari teladani Buraidah al-Aslami. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment