Monday, 15 September 2014

Sehari semalam lawan komunis

Marang: “Tidak mudah untuk memastikan negara bebas daripada mana-mana pihak musuh ketika itu, kemerdekaan adalah satu perkara yang sangat berharga dan mahal harganya serta generasi sekarang perlu menghargainya dan mengekalkannya,” kata Koperal (B) Tuan Mahmud Tuan Bahru, 76, dari Kampung Sentul Patah, di sini, ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang terbabit secara langsung dalam pertempuran menentang pihak musuh, dia berharap generasi sekarang lebih menghargai kemerdekaan yang dinikmati sehingga sekarang.
Menurutnya, pengalaman bertempur sehari semalam dengan komunis pada 1954 di Kuala Lipis, Pahang masih segar dalam ingatannya.
“Malah, pengalaman bergelut dan membunuh anggota komunis ketika menyertai operasi risikan di Thailand paling mendebarkan sepanjang berkhidmat dalam tentera,” katanya.
Tuan Mahmud berkhidmat dalam Pasukan Polis Special Constable (SC) bermula 1953 sebelum menyertai Royal Air Force Regiment Malaya pada 1955 hingga 1960 dan pada 1963 hingga 1979 menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta berkhidmat sebagai anggota Grup Gerak Khas (GGK).
Katanya, peristiwa bertempur sehari semalam dengan sekumpulan komunis yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Abu Bakar ketika itu memang mengerikan.
“Bayangkan ketika itu saya bersama enam anggota Polis SC lain bertempur dengan lebih 30 komunis.
Pertempuran kami lebih mencabar apabila hujan lebat menyebabkan hampir keseluruhan kawasan pertempuran dan tempat persembunyian dinaiki air.
“Saya dan enam anggota Polis SC terpaksa berundur ke kawasan lain bagaimanapun sebelum hujan, kami sudah membunuh ramai anggota komunis.
“Selepas hujan reda, kami menjejaki semula kumpulan komunis itu, bagaimanapun Abu Bakar yang ditemani orang kanannya, Ali terlebih dulu keluar dari tempat persembunyian dan menyerah kalah sebelum saya ditugaskan ke kubu pihak lawan bagi mengesahkan kematian anggota komunis itu, tetapi malangnya semua mayat dan peralatan pihak musuh sudah dibawa arus deras banjir ketika itu,” katanya.
Tuan Mahmud anak jati Kampung Kijal, Kemaman yang dikenali sebagai Rambo Malaya dalam kalangan rakannya berkata, selain pertempuran itu, dia juga terbabit dengan misi risikan di Thailand pada 1958.
“Saya terpaksa membunuh seorang anggota komunis di dalam kem di situ menggunakan pisau jika tidak saya akan dibunuhnya, lebih buruk jika kehadiran saya dan enam anggota pemantau yang menyelinap masuk ke kem mereka diketahui komunis lain,” katanya.
Menurutnya, selain mempunyai pengalaman bertempur dengan komunis dia juga terbabit dengan Konfrontasi iaitu ketegangan yang terjadi pada 1963 yang berubah menjadi perang antara Indonesia dan Malaysia mengenai Sabah.
“Saya bersama tujuh anggota GGK berperang dengan anggota tentera Indonesia dua hari dua malam tanpa henti di sebuah Kampung di Sarawak.

Biarpun jumlah kami kecil dan mereka 23 orang, kami tetap berjaya mengalahkan mereka.
“Saya mempunyai prinsip iaitu tidak akan sesekali membenarkan satu inci pun Tanah Melayu menjadi milik pihak musuh biarpun terpaksa menggadai nyawa.
“Setelah apa yang kami korbankan untuk negara, penghargaan daripada mana-mana pihak tidak penting bagi kami malah ramai antara kami yang dahulunya dikenali sebagai ‘Singa Malaya’ kini merempat bagai kucing kurap tanpa sebarang penghargaan dan pembelaan.
“Semua itu kami boleh maafkan dan reda dengan perjalanan hidup ini namun kami pantang jika mereka tidak mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi sekarang hasil kepayahan pejuang kemerdekaan terdahulu,” katanya.


Foto
TUAN Mahmud melihat gambar lama sewaktu berkhidmat dalam ATM.


Credit: Ahmad Rabiul Zulkifli

No comments:

Post a Comment