Wednesday, 17 September 2014

Meneladani Zainab


SUATU hari Rasulullah SAW memberitahu isteri-isteri baginda: “Orang yang paling panjang tangannya di antara kamu akan menjadi orang pertama yang menyusul diriku selepas kematianku."

Aisyah bercerita: selepas Rasulullah SAW wafat, isteri-isteri baginda sering berkumpul dan mengukur tangan sesama mereka. Masing-masing berharap dialah orang yang dimaksudkan oleh baginda.

Apabila Zainab binti Jahsy meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah, isteri-isteri Nabi SAW baru faham bahawa kalimat “panjang tangan" yang dimaksudkan baginda bukan hakikat. Sebab tangan Zainab tidak lebih panjang daripada isteri-isteri Nabi yang lain.



Panjang tangan yang dimaksudkan ialah suka bersedekah dan pemurah. Aisyah menjelaskan, Zainab memang rajin bekerja untuk mendapat wang sendiri lalu bersedekah dengannya. (riwayat Muslim)

Sebuah hadis riwayat al-Hakim menyebutkan bahawa pekerjaan yang dilakukan Zainab ialah menjahit pakaian dan menyamak kulit, lalu menjualnya.


Kerjaya dan keluarga

Zainab ialah figura Muslimah yang mampu menyeimbangkan antara ibadah, tuntutan kerja dan tugasan rumah. Beliau layak menjadi teladan bagi setiap muslimah yang bekerjaya pada hari ini.

Islam tidak pernah melarang wanita untuk bekerja. Terutama apabila terdapat keperluan mendesak untuk menyara hidup sendiri ataupun membantu suami.



Walaupun begitu, tugasan terpenting wanita Muslimah ialah di dalam rumahnya. Ia wajib melaksanakan tugasan sebagai isteri bagi suaminya dan ibu untuk anak-anaknya. Tidak dilupakan juga tugasannya sebagai hamba Allah SWT yang taat kepada perintah dan larangan-Nya.

Justeru, para ulama telah menggariskan panduan tertentu untuk kaum wanita bekerjaya. Sebahagian besar hukum-hakam dan panduan wanita bekerja telah dijelaskan dalam majalah al-Ustaz isu 30.



Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan bahawa kaum perempuan dibenarkan bekerja di luar rumah dengan tiga syarat. Pertama, pekerjaan yang dilakukan halal. Kedua, ia selalu menjaga adab-adab Islam semasa bekerja. Dan ketiga, pekerjaan tersebut tidak menjejaskan kewajipannya kepada suami, anak-anak dan keluarga.

Setinggi mana pun jawatan seorang muslimah di tempat kerja, ia tetap berkewajipan mencurahkan perhatian kepada keluarganya dan kasih sayang kepada anak-anaknya. Sebab kecemerlangan seorang Muslimah diukur dengan keadaan rumahnya.

Semoga kita boleh meneladani ummul mukminin Zainab binti Jahsy. 

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment