Tuesday, 1 January 2019

ISLAM KEJI SEBAR AIB ORANG

DALAM kehidupan bermasyarakat, umat Islam dituntut menjaga ukhuwah dan keharmonian berasaskan kepada nilai-nilai akhlak yang luhur.
Umat Islam juga diajar untuk mencintai dan mengasihi saudara seagama, saling mengambil berat, membantu serta menjaga aib antara satu sama lain. 
Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa memberikan pertolongan hajat saudaranya, maka Allah akan menolong dalam hajatnya. Sesiapa memberikan kelapangan kepada seseorang Muslim daripada sesuatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan dia daripada suatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.”
Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh.
Dalam politik contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu dari parti berbeza ideologi dilihat semakin menjadi-jadi. Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya.
Kadang kala diikuti dengan kata-kata kesat dan maki hamun tanpa menghiraukan dosa dan tegahan agama. Allah mengancam perbuatan seperti ini melalui firman-Nya dalam surah an-Nur: 19, bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab amat pedih di dunia akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video perlakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang.
LARANGAN MENGHINA
Umat Islam dilarang mengejek, menghina kekurangan atau keaiban orang lain seperti gemuk, kurus kering, kulit hitam, wajah hodoh, kecacatan dan sebagainya.
Semua ini termasuk dalam perbuatan mengumpat, mengeji dan memperlekeh orang lain yang dikeji oleh Allah.
Sebagaimana firman Allah melalui surah al-Humazah ayat 1 maksudnya: “Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengeji. Mengumpat, mengeji dan mendedahkan aib orang lain umpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat: 12, bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila umat Islam saling membenci, menghina, mengaibkan dan memfitnah sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan.
Orang yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara se-lslam, adalah golongan dalam dirinya mempunyai sifat-sifat munafik.
Akhirnya perbuatan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya perpaduan akan menjadi semakin rapuh dan umat Islam akan semakin lemah.
Justeru, umat Islam perlu membersihkan diri daripada sebarang sifat keji khususnya seperti iri hati, hasad dengki, suka mengaibkan orang lain, suka mengumpat dan suka melihat orang lain dimalukan.


Kredit: Utusan, Jab. Agama Islam Pahang

No comments:

Post a Comment