Tuesday, 20 November 2018

MISKIN TETAPI KAYA



SATU kisah yang berlaku dalam masyarakat iaitu tentang seorang penarik beca yang luar biasa. Setiap hari Jumaat dia tidak mengenakan sebarang tambang ke atas sesiapa yang menaiki becanya. Suatu hari seorang wanita yang kaya menaiki becanya. Setelah sampai di destinasi yang dituju, penenarik beca ini menolak bayaran wanita tersebut dan memberitahunya sesiapa yang menaiki becanya pada hari Jumaat dia tidak mengenakan sebarang tambang.

Wanita tadi seakan tidak percaya lalu ingin mengenali penarik beca tadi. Di hari Jumaat yang lain, wanita ini sekali lagi menaiki beca pakcik tersebut. Kali ini dia meminta untuk ke rumah pakcik tersebut. Dia berhasrat untuk mengenali keluarga pakcik itu. Apabila tiba di rumah pakcik itu, dia terkejut kerana pakcik tersebut bukan seorang yang kaya. Dia sangat kagum walaupun penarik beca itu tidak memiliki kekayaan, tetapi dia masih mampu untuk bersedekah dengan cara tersendiri. Bersedekah dengan menyumbang tenaganya untuk orang lain.

Akhirnya wanita tadi mengajak penarik beca dan keluarganya bersama-samanya menunaikan haji pada tahun tersebut. Begitulah cara ALLAH membalas dan memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya. ALLAH membalas kebaikan penarik beca tadi dengan menjemputnya menjadi tetamuNya di Baitullah.

Minda Miskin
Sesetengah orang ada yang sayangkan hartanya sehingga takut untuk berbelanja pada kebaikan. Apabila disebut tentang sedekah, zakat dan seumpanya, dia mengelak atau tidak mempedulikannya. Dia beranggapan dirinya bukan orang kaya. Belum wajib untuk mengeluarkan zakat. Kerana sentiasa merasakan apa yang dia ada tidak mencukupi. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mengingatkan tentang sifat kedekut atau bakhil.A ntaranya Firman ALLAH SWT:

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Ali-Imran:180).

Kerana itu ALLAH mewajibkan zakat ke atas orang-orang beriman agar tidak dihinggapi penyakit bakhil dan sayangkan harta. Penyakit ini juga menjadikan kita leka mengumpulkan kekayaan kerana sikap manusia yang tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada.
Dari ‘Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan ALLAH menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (Riwayat Bukhari No: 5956).

Erti Hidup Pada Memberi
Rata-rata manusia lebih gemar menerima berbanding memberi. Kerana logik akal mereka percaya apabila memberi pastilah akan berkurang apa yang ada pada tangannya. Akan tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Untuk menerima perlu dimulakan dengan memberi terlebih dahulu.

Nabi SAW bersabda: ALLAH SWT berfirman, “Wahai anak Adam, berinfaklah, niscaya Aku akan memberi nafkah kepadamu“ ( Riwayat Bukhari dan Muslim).

Akan tetapi ramai yang takut jatuh miskin apabila mereka banyak memberi. Kerana itu ALLAH SWT berfirman, Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang ALLAH menjanjikan untukmu keampunan dan kurniaan daripadaNya. Dan ALLAH Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengatahui.  (Surah Al Baqarah 268).

Pernah suatu hari di kaunter bayaran zakat, datang seorang wanita yang agak berumur. Berpakaian biasa bukan seperti orang yang kaya. Sekali pandang mungkin kita akan menyangka bahawa dia ingin bertanya berkenaan permohonan bantuan zakat. Akan tetapi wanita ini datang untuk bertanya dan membuat kiraan zakat sama ada dia wajib membayar zakat ataupun tidak.

Setelah membuat penaksiran, betul wanita hebat ini tidak wajib membayar zakat kerana hartanya tidak mencukupi nisab. Namun, dia tetap mengeluarkan sejumlah wang dari poketnya dan memberikannya kepada amil bertugas. Dia menyatakan bahawa dia sudah berniat untuk memberi zakat sekalipun tidak wajib.

Kita sepatutnya berasa malu, disaat kita berkira-kira dan berhujah supaya tidak perlu mengeluarkan zakat sedangkan kita mempunyai harta yang mencukupi nisab, ada orang lain yang jauh lebih susah tetapi bersedia untuk memberi. Kerana mereka meyakini bahawa memberi tidak mengurangkan akan tetapi sebenarnya adalah menambah. Menambah nilai dalam diri kita. 

Firman ALLAH SWT:
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah Al-Israa’:7).

Orang Kaya Sebenar
Profesor Dr. Hamka atau lebih dikenali Buya Hamka, di dalam bukunya ‘Tasawuf Moden’ menyebut tentang hakikat kekayaan yang sebenar. Beliau menyimpulkan bahawa orang kaya adalah orang yang sedikit keperluannya. Ukuran turun naik kekayaan dan kemiskinan seseorang bergantung hajat dan keperluannya. Justeru, siapa yang paling sedikit keperluannya itulah orang yang paling kaya. Dan siapa yang amat banyak keperluannya itulah orang yang paling miskin. 

Sabda Nabi SAW:
“Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia. Namun kaya (ghina) adalah hati yang selalu merasa cukup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kekayaan hakiki adalah merasa cukup dengan yang ada. Bersyukur ketika menerima nikmat dan kurniaan daripada Tuhan, dan tidak kecewa jika jumlahnya berkurang. Jika dilimpahi dengan kekayaan tidak menjadikannya lupa kepada kewajipan. Harta tidak dicintai kerana ia harta. Harta dicintai kerana ia pemberian Tuhan. Digunakan untuk perkara yang membawa kebaikan.

Credit: Sinar

No comments:

Post a Comment