Tuesday, 15 July 2014

Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan kurangnya waktu diperuntukkan untuk bersantai, bergurau senda serta menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri. 

Naluri manusia memerlukan gurau senda untuk mengeratkan hubungan baik dan merapatkan silaturahim.


bukan saja mengelakkan kesunyian, gurau senda juga memudahkan komunikasi. 

Walaupun gurau senda membantu menguatkan kasih sayang, ia juga boleh meranapkan silaturahim jika gurau senda itu menyebabkan ada pihak yang berkecil hati. Ada di antara kita bergurau tanpa menyedari ada hati terluka. 

Demikian juga, elakkan diri kita daripada berlebihan dalam bergurau senda hingga menyebabkan ada orang terasa dirinya diaibkan atau dijadikan misalan hingga memalukan dirinya. 

Sebaliknya, gurau senda dijadikan antara cara untuk menghiburkan hati yang lara atau menyenangkan orang yang sedang berduka. 

Gurau senda erat silaturahim, perpaduan dapat ganjaran 
Jika gurauan boleh menyenangkan hati, mengeratkan silaturahim dan perpaduan serta kasih sayang, maka gurauan itu menjadi perbuatan baik yang bakal mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. 

Sebaliknya jika gurauan menjadi alasan menyakitkan hati seseorang, ia sudah tentu menjadi perbuatan dikutuk Allah SWT. Jangan pula tabiat bergurau senda untuk menyakitkan hati orang lain menjadi kebiasaan serta menyebabkan seseorang itu tiada rasa bersalah mengutuk atau menghina. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 11) 

Jenaka adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. 

Namun, bergurau mempunyai adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti tidak menjadikan agama sebagai bahan jenaka dengan mempersendakan sunah Rasulullah SAW, gurauan bukan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya. 

Bergurau sesuai masa, tempat 

Selain itu, tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan. Ia perlu bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau pada waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya. 

Justeru itu, bersempena Ramadan yang penuh barakah ini marilah sama-sama kita menjaga segala adab dan tutur kata yang baik ketika bergurau senda, jangan biarkan ada hati saudara kita yang terluka.






Credit: Nursyafiqah Abdul Samat

No comments:

Post a Comment