Wednesday, 4 June 2014

Usahawan terbilang

BERNIAGA menerusi internet adalah perkembangan terkini dalam inovasi dunia perniagaan. - Gambar hiasan

SUATU hari Rasulullah SAW menyerahkan wang satu dinar kepada Urwah bin al-Jaad al-Bariqi. Baginda menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli seekor kambing korban.

Satu dinar biasanya hanya cukup untuk membeli seekor kambing. Namun kerana kepakarannya dalam berjual beli, Urwah mampu mendapat dua ekor kambing dengan satu dinar tersebut.

Di tengah perjalanan pulang, beliau berjumpa dengan seseorang yang berminat membeli salah seekor kambing yang dibawanya. Urwah lalu menjualnya dengan harga satu dinar.

Apabila berjumpa baginda Nabi SAW, Urwah berkata: "Wahai Rasulullah, ini wang dinar milik tuan. Dan ini kambing milik tuan."

Rasulullah SAW terkesan dengan kepandaian Urwah. Baginda mendoakan Urwah dengan sabdanya: "Ya Allah, berkatilah Urwah dalam setiap transaksi yang beliau lakukan."

Selepas doa Nabi SAW itu, Urwah menjadi seorang peniaga yang sangat berjaya. Sehingga dikatakan, andai ia menjual debu sekalipun, ia pasti akan mendapatkan untung. Pada akhir hayatnya, Urwah menetap di Kufah dan menjadi salah seorang yang paling kaya di negeri tersebut.

Kisah ini diriwayatkan oleh ramai ahli hadis antaranya al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi dengan lafaz yang saling melengkapi satu sama lain.


Galakan berniaga

Urwah al-Bariqi ialah seorang sahabat Nabi SAW layak menjadi model usahawan Muslim. Beliau pandai menggunakan modal yang tidak seberapa untuk meraih keuntungan yang berlimpah. Dan doa Nabi SAW untuk beliau menunjukkan keredaan baginda atas perbuatan yang beliau lakukan.

Menceburi bidang perniagaan memang sangat digalakkan dalam Islam. Rasulullah pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang terbaik?" Baginda menjawab: "Seseorang yang menggunakan kemahiran tangannya dan setiap jual beli yang halal." (riwayat Ahmad)

Para ulama menyebut perniagaan sebagai salah satu kaedah mencari rezeki yang paling mulia. Tentu sahaja syaratnya apabila perniagaan tersebut bersih daripada penipuan, monopoli, riba dan perkara haram lainnya.


Ulama profesional

Melihat kepada lembaran sejarah hidup para ulama, kita akan mendapati ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan dunia Islam ternyata juga para peniaga sukses. Mereka antaranya ialah: Imam Abu Hanifah, Imam Laith bin Saad, Imam Abdullah bin al-Mubarak, dan lain-lain.

Para ulama ini membuktikan bahawa jalan kejayaan boleh diraih tanpa menempuh jalan yang haram di sisi syarak. Mereka bukan hanya pakar dalam teori halal dan haram, namun juga praktis dalam bidang tersebut.
Motivasi mereka dalam perniagaan pun sangat mulia. Motivasi itu bukan untuk memperkaya diri, akan tetapi mempertingkatkan diri agar lebih dekat kepada ilahi.

Ibnu al-Mubarak pernah ditanya tentang motif perniagaan beliau. Ulama dan usahawan besar ini menjawab: "Aku melakukannya untuk menjaga air muka, memelihara kehormatan, dan membantu diriku dalam ketaatan."

Jika semangat dan motivasi keusahawanan ini dimiliki setiap Muslim, sudah pasti umat Islam akan menjadi bangsa yang disegani. Mereka kuat dalam ekonominya sebagaimana kuat dalam iman dan akidahnya. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment