Tuesday, 3 June 2014

Kesenangan dunia sebagai ujian kepada manusia

Pada dunia akhir zaman ini, golongan muda seharusnya diberi perhatian kerana mereka mudah terpedaya dengan dugaan dunia. Dalam konteks ini, Ashabul Kahfi adalah contoh terbaik kerana berani melawan arus. 

Mereka adalah anak muda yang tegas berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun ia berisiko tinggi. Pada akhir zaman, golongan yang akan berjaya adalah mereka yang bersikap seperti Ashabul Kahfi ini. 


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashabul Kahfi dan al-Raqim (nama batu bersurat) itu saja yang menakjubkan antara tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?” (Surah al-Kahfi, ayat 9) 


Penyebaran media massa pada akhir zaman akan menjadi begitu dahsyat sehingga mengubah nilai hidup manusia seperti perbuatan zina dihalalkan, mereka yang rendah moral dan mendedahkan aurat menjadi ikutan, pergaulan bebas dianggap lambang kemajuan dan amanah menjadi bahan permainan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu orang yang telah sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka menyangka mereka sentiasa betul dan baik pada apa saja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 104) 

Tambahan pula, orang kafir sentiasa menginginkan umat Islam berpecah dan masuk ke dalam golongan mereka. Mereka tidak akan berhenti mencari helah untuk memerangkap umat Islam sehingga berjaya dengan menggunakan cara halus. 

Selain itu, umat Islam seharusnya mengawasi keseronokan sementara duniawi seperti hiburan yang melampaui batas dan melanggar syariat Islam. Kesenangan dunia adalah fitnah dan ujian bagi setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. 
Jika ia diambil dengan sikap dan cara yang betul, seperti yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman maka akan menguntungkan umat Islam di dunia dan akhirat. 
Sebaliknya apabila manusia sudi memperhambakan dirinya kepada lembah kehinaan, maka kebinasaan akan menimpa mereka di akhirat kelak. 

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di kalangan mereka yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7) 
Umat Islam perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya tidak terpedaya dengan keseronokan dunia yang hanya sementara. Justeru, umat Islam haruslah sentiasa mengamalkan surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat supaya dapat melindungi diri daripada fitnah Dajjal kelak.

Credit: Muhammad Luqman Ahmad

No comments:

Post a Comment