Thursday, 19 April 2012

PEMIMPIN YANG BAIK, DIHORMATI BUKAN DIGERUNI



KERANCAKAN perbincangan sejak akhir-akhir ini banyak memfokuskan soal kepemimpinan yang mempamerkan pentingnya tanggungjawab seorang pemimpin. Malah, menjadi seorang pemimpin bukanlah mudah, begitu juga untuk menjaga kepemimpinan juga bukanlah senang. 

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk memastikan kepemimpinan itu akan terus dihormati dan bukannya terus digeruni? Adakah perlu kepemimpinan berkenaan mengikut kehendak rakyat atau kehendak agama yang perlu didahulukan?
Penulis buku French Political Thought in the Nineteenth Century, Roger Soltau mengatakan, negara adalah alat (agensi) atau kekuasaan (autoriti) yang mengatur atau mengendalikan persoalan bersama atas nama masyarakat. Negara adalah gabungan beberapa kelompok masyarakat yang diintegrasikan kerana mempunyai kekuasaan yang bersifat memaksa. Ia lebih baik daripada hanya sekadar berbentuk individu atau kelompok sebahagian dari masyarakat itu.
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. - Surah al-Mulk, Ayat 1
Namun, Max Weber dan Robert Maclver menyatakan, negara bukan hanya sekadar penyatuan antara masyarakat bahkan ia lebih kompleks berbanding masyarakat.

Perlu diketahui negara yang kuat adalah berasaskan kepada masyarakat yang kuat. Menurut Muhammad Ismail dalam kitab al-Fikr al-Islami, kekuatan dan keutuhan masyarakat dapat dibina berdasarkan kepada tiga kriteria utama. 

Pertama, adanya pemikiran sama. Kedua, perasaan yang sama. Ketiga, undang-undang yang diterapkan dalam masyarakat perlu kuat. Jika tidak ada salah satu kriteria itu, maka tidak layak kelompok berkenaan dipanggil masyarakat. Apabila masyarakat tidak ada, negara tidak akan muncul.

Oleh itu, konsep sesebuah negara dibentuk berasaskan kebijaksanaan seseorang pemimpin menilai situasi semasa dan budaya hidup mereka. Negara Islam dibina berteraskan pembentukan individu muslim, kemudian rumah tangga muslim, kemudian masyarakat muslim dan akhirnya negara muslim. 
Pendekatan terhadap pembentukan negara berteraskan Islam juga memerlukan kebijaksanaan pemimpin menyesuaikan mengikut suasana semasa tempat mereka.
 
Berdasarkan penelitian terhadap beberapa karya, negara berteraskan Islam boleh dibentuk walaupun berada dalam pemerintahan raja berperlembagaan, demokrasi dan sebagainya. Tetapi ia perlu berada dalam enam perkara asas yang diletakkan sebagai Rukun Negara berteraskan Islam.

Pertama, memilih pemimpin adil, berani, mampu, cukup kuat ingatan, berilmu pengetahuan luas dunia akhirat, biasa dengan teknik peperangan dan mahir dalam pentadbiran. Ia juga perlu kuat prinsip untuk menghadapi lawan, tidak kenal erti menyerah kalah apabila ditekan pihak musuh. 

Kedua, perlu dipastikan hak membuat hukum dalam sebuah negara Islam adalah milik Allah SWT. Walaupun begitu, jika undang-undang itu masih lagi belum termaktub dalam al-Quran atau dihuraikan dalam hadis, bolehlah para mujtahid membuat hukum berdasarkan keadaan dan situasi semasa. Hal ini bermakna, undang-undang Islam perlu diletakkan lebih berautoriti berbanding undang-undang lain.

Ketiga, syura harus memainkan peranan penting dalam membuat sebarang keputusan. Ia perlu dipraktikkan sepenuhnya dalam memastikan timbang dan periksa dalam kerajaan berjalan dengan adil menurut syarak. 

Peranan ulama dan umara dalam sesebuah pemerintahan Islam penting untuk memastikan kedudukan negara berteraskan Islam tidak tergugat. 

Keempat, kerajaan memerintah perlu memastikan keadilan untuk semua pihak terjaga tidak kira agama, bangsa, puak dan ideologi. Kelima, menghormati dan melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan akhirnya, mempunyai komitmen melaksanakan hukum syariah dalam memastikan fitnah terhadap agama sentiasa terjaga. 

Persoalannya, bolehkah negara berteraskan Islam dibina dalam acuan berbeza daripada dasar Islam? Berdasarkan penelitian terhadap enam rukun berkenaan, sudah pastinya tidak mungkin berlaku.

Untuk itu, konsep negara berteraskan Islam ini perlu difahami masyarakat supaya pembinaan sesebuah negara berteraskan Islam itu tidak disalahertikan. Ia bukan untuk menyusahkan masyarakat tetapi menyelamatkan manusia daripada kebinasaan. 

Pengamalan rukun itu, perkara pertama perlu diteliti ialah pemilihan seseorang pemimpin yang benar-benar menguasai beberapa perkara asas seperti fizikal dan mental. Dari segi fizikal, perlu ada keberanian keputusan, berhujah dan mampu memimpin.

Dari segi rohani, hati seseorang pemimpin itu harus bersih daripada sebarang kemaksiatan, tidak melakukan sebarang kemungkaran secara terang-terangan, kuat ingatan dan seorang yang berilmu pengetahuan luas dalam keilmuan dunia serta keilmuan akhirat.

Seterusnya, berdasarkan penelitian terhadap rukun berkenaan, seorang pemimpin harus mengakui bahawa kepemimpinannya itu hanyalah pinjaman daripada tuhan dan apabila tiba masanya perlu diserahkan kembali kepada pemerintah segala pemerintah yakni Allah SWT.



Berita Harian.

No comments:

Post a Comment