Monday, 9 April 2012

Jom..Perbaharui iman tingkatkan ibadat, ilmu pengetahuan




Muslim perlu bersedia hadapi cabaran globalisasi

KUATAN iman yang bertapak dalam jiwa sanubari Muslim ada pasang surutnya atau naik turunnya kerana alam semesta ciptaan Ilahi ini terhampar pelbagai cabaran serta ujian sama ada kenikmatan mahupun kesusahan.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman itu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun, maka hendaklah kamu perbaharui iman kamu dengan kalimah La Ilaha illallah.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).


Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Iman seseorang boleh menjadi usang dan lusuh seperti usang dan lusuhnya sehelai pakaian. Maka hendaklah kamu memohon ke hadrat Allah supaya memperbaharui iman kamu yang ada dalam hatimu.” (Hadis riwayat Tabrani dan Hakim) 

Rasulullah SAW tidak mengingkari keadaan iman yang sentiasa berubah dan disebabkan itu Baginda memberi galakkan kepada umatnya untuk selalu memperbaharui iman serta memeliharanya dengan baik supaya iman tidak jatuh merudum yang akhirnya mengundang kemurkaan Ilahi.

Keadaan iman yang menurun seperti itu membuka jalan kepada seseorang untuk berbuat dosa dan berani melakukan larangan Allah SWT. Nasihat dan pesanan Rasulullah SAW diberi perhatian oleh sahabat kerana mereka mengakui dan mengalami pasang surut iman.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata kepada sahabatnya yang lain: “Marilah kita perbaharui iman kita.” Pada ketika yang lain, Muaz Jabal berkata: “Marilah duduk bersama kami untuk kita beriman sesaat.” 
Perkataan Muaz itu bukan menunjukkan mereka tidak beriman sebaliknya dia mengajak sahabatnya bersama meningkatkan keimanan selepas seharian disibukkan dengan pelbagai urusan dunia yang ada kala menyebabkan kita lalai dan leka seketika pada keadaan iman.

Maksud memperbaharui iman ialah menilai dan menghidupkan kembali kefahaman dan amalan umat Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan al-Sunnah kerana kefahaman atau amalan umat Islam boleh jadi terpesong daripada landasan Islam sehingga menuntut pembaharuan kefahaman sebenar.

Dalam erti kata lain, memperbaharui iman adalah amalan penting dilakukan khususnya umat Islam mutakhir ini yang berdepan dengan pelbagai dugaan hebat seperti cabaran globalisasi serta kecanggihan media massa.

Iman bagi Muslim ibarat enjin kereta, jika baik jagaannya, maka lancar pemanduannya. Jika baik iman seseorang Muslim itu dan sentiasa digilap akan baiklah tingkah laku serta keperibadiannya yang menjurus ke arah melakukan ketaatan, menjauhi larangan Ilahi.

Jelas, memperbaharui iman penting kerana iman boleh bertambah dan berkurang. Proses memperbaharui iman dapat dilakukan dengan mempertingkatkan kuantiti dan kualiti ibadat kepada Allah SWT di samping memperbanyakkan amal kebajikan sesama manusia.

Selanjutnya, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah sebagai usaha memperbaharui iman. Walaupun tidak memadai sekadar menggerakkan bibir sebaliknya perlu dihayati serta diyakini dalam hati untuk mendapatkan kesan diharapkan.

Memperbanyakkan ucapan zikir membuktikan keteguhan hati melakukan segala-galanya kerana Allah dalam persoalan ibadat, hubungan keluarga, makanan, minuman, akhlak, ekonomi, pendidikan dan lain-lain aspek kehidupan sejagat.

Setiap amalan dilakukan perlu didasari asas tauhid kepada Allah kerana ucapan mempunyai kaitan rapat dengan amalan seperti firman Allah yang bermaksud: “Amat besarlah kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 3)

Menuntut ilmu juga adalah amalan menambahkan keimanan kerana ilmu boleh mendekatkan seseorang kepada Allah SWT di samping dapat mengenal Allah dengan lebih mendalam. Begitu juga amalan membaca, menelaah dan bertadabur al-Quran.

Marilah bersama kita memperbaharui dan mempertingkatkan keimanan kepada Allah. Perbuatan maksiat berpunca daripada kurangnya iman seseorang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika seseorang Muslim berbuat dosa, maka akan terjadilah dalam hatinya satu titik hitam. Jika dia bertaubat dan meninggalkan perbuatan itu, maka bersihlah kembali hatinya itu. Sebaliknya jika dia tidak bertaubat dan terus melakukan dosa, maka akan bertambahlah titik hitam itu sehingga tertutuplah hatinya. Itu al-Ran disebut dalam al-Quran.” (Hadis riwayat Ibnu Majah.


Credit to: B Harian.

No comments:

Post a Comment