Monday, 15 January 2018

Muhasabah diri jadi Mukmin terbaik



Siapa yang suka menilai atau melihat kekurangan diri, tetapi itulah cara untuk melakukan perubahan. Oleh itu, walaupun pahit untuk menerima kenyataan, itu adalah lebih baik kerana bermuhasabah dapat membersihkan diri daripada kejahilan serta dosa. Ikuti kupasan bersama Ustaz Mohd Meftah Anuar dalam segmen Islam Itu Indah di IKIMfm.
Orang yang beruntung adalah yang sentiasa membuat pembetulan supaya dapat memperbaiki kecelaan diri dan menjadikannya mukmin lebih baik. Imam al-Ghazali berkata, "Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak."
Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkata, muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri.
Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan." (Surah al-Anbiya, ayat 47)
Setiap perbuatan manusia walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan diperhitung dan dihisab di akhirat nanti. Perbuatan baik akan mendapat balasan baik, manakala perbuatan jahat akan menerima akibat buruk.
Sentiasa bersyukur
Seorang mukmin perlu lebih banyak merasa syukur akan segala nikmat kurniaan Allah SWT. Apa sahaja rezeki yang diperoleh adalah atas kehendak dan kurniaan-Nya. Justeru, syukur itu akan menjadikan manusia lebih tawaduk dan taat segala perintah-Nya.
Allah SWT akan mengurniakan nikmat lebih besar bagi mereka yang selalu bersyukur. Dalam menterjemahkan nilai syukur, seorang mukmin itu harus lebih banyak bermuhasabah dan melihat setiap sudut hidup sebagai anugerah Allah yang Maha Esa.
Sesungguhnya tidak akan bererti apapun yang dimiliki manusia jika tidak disertakan dengan rasa syukur dan yakin ia adalah pinjaman daripada Allah SWT. Justeru, mukmin perlu sedar dalam setiap nikmat yang dikecapi, ada rezeki orang yang lain yang tersembunyi.
Ini kerana ada kala Allah SWT mengurniakan rezeki seseorang melalui mukmin yang lain supaya mereka saling memberi dan mengingati sesama manusia.
Jauhi maksiat
Berbicara mengenai keberkatan dalam mencari rezeki, hendaklah menjauhi perbuatan maksiat yang akan menghitamkan hati, menutup pandangan mata, mengikis semua kebaikan sungguhpun mendapat nikmat di dunia ini.
Tidak ada ertinya semua kesenangan dan kenikmatan hidup jika diperoleh dengan jalan kemaksiatan kerana ia tidak mendapat keberkatan hidup, apatah lagi untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Orang yang sentiasa dalam kemaksiatan sungguhpun hidupnya penuh keseronokan dan kekayaan, ia hanya satu tipu daya menyesatkan dan nikmat yang membinasakan.
Oleh itu, dalam mencari rezeki seseorang mukmin hendaklah sentiasa memeriksa kesilapan yang dilakukan supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat istidraj. Muhasabah jalan terbaik manusia membuat pusingan U atau menghitung kesilapan diri dilakukan.
Pegang tiga paksi
Setiap mukmin hendaklah memahami ajaran agama Islam dengan sebaiknya supaya sentiasa terbimbing pada jalan yang benar. Peganglah tiga paksi diajarkan agama iaitu menjadi khalifah yang taat akan perintah Allah SWT, mengamalkan Islam sebagai cara hidup, menjadikan akhlak baik pakaian yang akan menentukan corak tindakan diri.
Akhlak baik adalah senjata mukmin untuk menjadi manusia penuh nilai manusiawi dalam membina keperibadian yang tinggi. Rasulullah SAW bersabda: "Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia."
Hidup di dunia hanya persinggahan sebelum menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi. Justeru, hendaklah sentiasa berusaha mempersiapkan dirinya dengan perkara yang akan meningkatkan amal timbangan di akhirat kelak.
Berdamping dengan orang soleh yang boleh menjadi pembimbing untuk sentiasa dekat kepada Allah SWT dan sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagai mengingati ajaran Rasulullah SAW. Cara itu boleh mencegah mukmin daripada terjerumus perbuatan yang boleh menyesatkan.

Credit: Nik Hasnah Ismail

No comments:

Post a Comment