Monday, 13 June 2016

Cabaran mendidik pelajar pendidikan khas

  Cabaran mendidik pelajar pendidikan khas
SALAM Ramadan al-Mubarak. Alhamdulillah bertemu lagi bulan rahmat yang ditunggu-tunggu dan genap tiga Ramadan saya bersama pelajar MBK.

Apa itu? Siapa? Persoalan sama juga bermain di minda saya sebelum ini. Ramai tidak tahu termasuk saya sehingga diberi amanah mendidik belia-belia ini pada penghujung 2013.

MBK adalah ringkasan Murid Berkeperluan Khas yang belajar di sekolah-sekolah melalui Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

Ada tiga kategori pelajar MBK iaitu Hearing Disability (HD), Vision Disability dan Leaning Disability (LD), mereka juga pemegang kad OKU yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Kami diamanahkan dengan seramai 180 pelajar MBK yang kebanyakannya pelajar autisme atau lembam, bermula dengan 30 orang pada penghujung 2013 melalui program Buying Seats bersama Kementerian Pendidikan.

Saya pernah mendidik dan mengurus pelajar LD sebelum ini namun hanya kurang dari 10 orang pada satu masa tetapi ini cabaran baru dengan jumlah lebih ramai.

Bagi saya mereka semuanya full of colors kerana membawa pelbagai ragam dalam kehidupan harian kita dari kecil hingga dewasa.

Program bermula dengan timbulnya pelbagai kaedah dan cadangan bagi memberi belia MBK ini pendidikan yang sesuai tetapi berbekal sedikit pengalaman lepas, saya lebih terapkan kaedah work-based learning (WBL) di mana pelajar diberi pendidikan formal lebih kepada kaedah amali berbanding dengan teori.

Saya percaya persekitaran pembelajaran memainkan peranan penting agar kondusif kepada semua pelajar, termasuklah pelajar MBK. Kolej ini yang terletak di dalam sebuah resort sudah pasti satu bonus bagi persekitaran pembelajaran di dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.

Pelajar merasakan keselamatan dan persekitaran baik untuk mereka dan ini memberi kami peluang di dalam dua bulan pertama mengubah pemikiran pelajar MBK bahawa mereka bukanlah pelajar OKU.

Saban hari selama dua bulan pelbagai aktiviti kami lakukan bersama 
pelajar MBK terutama membentuk minda mereka menjadi pelajar 'normal'.

Alhamdulillah usaha kami berhasil dan mereka semuanya menidakkan diri mereka sebagai pelajar OKU. Ini terbukti apabila ditanya, “ada pelajar OKU di sini?” - kesemua dengan serentak menjawab “tidak ada!” dan kami lebih teruja mereka dapat bergaul dan bersaing dengan pelajar lain tanpa rasa kekok atau terpinggir.

Selama dua bulan pertama juga memberi masa kepada kami mengenali mereka lebih rapat.

Bukan mengaibkan sesiapa tetapi hanya sekadar untuk kami berkongsi pengalaman saat melihat telatah mereka. Ada yang melucukan, ada yang membuat kami tertawa, sedih dan juga marah, yang nyata mereka semua memerlukan kasih sayang lebih dari pelajar biasa.

Satu insiden lucu berlaku apabila seorang tenaga pengajar kami bertanya kepada salah seorang pelajar dengan nada yang agak tinggi, dengan selamba pelajar tersebut membalas.

“Madam tertelan mikrofon itu sebab cakap madam kuat!”. Bagi saya mereka mewarnakan kehidupan harian saya, salah seorang pelajar ini sangat dekat di hati kami, saya anggap mungkin dengan kebiasaan di rumahnya pelajar ini mula menanggalkan pakaian sehelai demi sehelai untuk masuk ke dalam tandas dan bila seorang pengajar wanita keluar tandas wanita yang bersebelahan tandas lelaki melihat pelajar tadi berdiri di depan bilik air dengan hanya memakai boxer dan terus memanggil “Miss, Miss!” serta menyanyi lagu Firman “Sejujurnya ku tak bisa…”

Pelajar itu ingin memberitahu pengajar tadi yang dia sudah menghafal lagu tersebut. Lucu...tetapi kini dia telah mendapat Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan sekarang mengikuti pembelajaran pada Tahap 3 yang tidak pernah difikirkan oleh ibu-bapanya sebelum ini.

Dia juga masih meneruskan minat menyanyinya dan sangat teruja jika diberi peluang menyanyi di khalayak ramai.

Dia berani dengan tahap keyakinan diri tinggi berbanding dahulu hanya menyendiri dan tidak bercampur dengan sesiapa. Dia masih mencari “Miss” dia dan menyanyikan lagu-lagu yang baru dihafal, sudah pasti pengajar ini akan rasa kehilangan apabila pelajar ini tamat pembelajaran bersama kami.

Permulaan program ini sangat mencabar dan pelbagai dugaan diterima dari pihak kementerian, jabatan dan juga ibu-bapa yang “tidak melepaskan” anak-anak mereka.

Sudah berbelas tahun mereka tinggal dan membesar bersama di rumah menyebabkan ibu-bapa sukar memberi kepercayaan. Perkara itu kami fahami, akan tetapi selepas perubahan yang sangat ketara terutama dari pertuturan dan perhubungan mereka dengan ibu-bapa secara perlahan perasaan risau mula terkikis.

Timbul pula satu happy problem di mana kebanyakan pelajar tidak mahu kerap pulang ke rumah kerana seronok berkawan dan belajar perkara - dalam erti kata lain, mereka rasa selesa. Sekali lagi kami terpaksa kerap menasihati mereka terutama di dalam kuliah agama atau moral dan masalah itu selesai apabila dapat membawa ke pemikiran asal.

Dari pemerhatian saya sepanjang tempuh itu, pembelajaran belia MBK memerlukan beberapa faktor seperti kesabaran yang tinggi, jadikan kelemahan mereka sebagai kekuatan, menimbulkan sifat penyayang, menanamkan kepercayaan mereka terhadap kita, membentuk keyakinan diri dan juga memasukkan program inclusiveness sama ada dari segi pembelajaran dan juga aktiviti harian.

Tahniah kepada kesemua tenaga kerja saya yang sangat komited mendidik anak-anak luar biasa ini tanpa mengira penat jerih untuk memastikan mereka semua berjaya dalam mencapai pendidikan mereka. Teringat kata-kata rakan akademik kami dari Indonesia, “anda adalah seorang yang sangat luar biasa apabila berjaya mendidik anak-anak yang luar biasa ini”.


Credit:  Zahar Ali Imperia Academy of Tourism Sdn Bhd, Imperia College of Hospitality, Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment