Saturday, 22 August 2015

Agar hidup tenang, bahagia

Mampukah kita membuatkan diri sendiri bahagia dan tenang? Kebahagiaan dan ketenangan diri sama ada dalam kehidupan peribadi juga kerjaya sering dianggap perkara yang sukar dicapai dalam erti kata sebenar.
Kala keperluan asas fizikal seperti makanan, tempat tinggal dan keselesaan diperoleh, ia ditakrifkan sebagai kebahagiaan hidup. Namun, muncul pula cabaran yang sering membuatkan kita berpaling atau tercicir daripada aspek kebahagiaan itu.
Diri kemudian mencari banyak perkara yang dipercayai dapat memberikan ketenangan atau kebahagiaan emosi. Mungkin kita mampu mendapatkan apa yang dihajati. Karier menarik, tapi akhirnya membawa kepada kekecewaan dan diri yang terbeban.
Setiap insan pernah dan mungkin merasakannya ketika ini. Selain penat memikirkan hubungan sesama individu lain, tahap keyakinan diri atau masalah dalaman diri juga disifatkan antara punca tertinggi menyebabkan tekanan dalam hidup manusia.
Pakar psikologi sering menyarankan kita perlu memberi perhatian kepada keperluan minda dan fizikal atau dalam erti kata lain, menyayangi diri sendiri.
Menjaga diet dan melakukan senaman saja tidak cukup sebagai tanda sayang kepada diri sendiri. Individu yang hidupnya gembira biasanya dikatakan jarang memikirkan masalah terutama membabitkan perkara yang sekelumit pun tidak memberi kesan pada kehidupannya.
Sebenarnya tidak sukar membuatkan diri rasa lebih tenang dan bahagia. Dengan mengetepikan beberapa kehendak material dan mengubah diri menjadi individu yang kurang materialistik, kebahagiaan serta ketenangan diri mudah dicapai.
Berdasarkan himpunan saranan pakar motivasi dan psikologi, berikut disenaraikan beberapa tabiat atau langkah yang boleh dilakukan untuk kehidupan gembira dan tenang setiap hari.
- Buang, jual atau derma barang yang tidak diperlukan. Gunakan panduan ini untuk aspek minimalisme bagi membantu diri menentukan sama ada barangan yang disimpan itu berlebihan.
Biasanya menyimpan beberapa barangan khususnya untuk keperluan harian membuatkan aktiviti harian yang dilalui lebih bermakna daripada menghabiskan masa dan tenaga untuk barangan berasaskan kehendak.
- Susun atau rancang semua perkara penting sebaiknya setiap hari. Lambakan bil disusun segera sejurus ia tiba di muka pintu. Pakaian yang sudah dicuci segera dilipat atau disimpan bagi memudahkan diri mencari padanan yang diingini.
- Jangan makan apa yang tidak diperlukan. Dalam erti kata lain, elakkan membeli makanan secara berlebihan bagi mengelakkan pembaziran. Beli produk makanan yang benar-benar ingin dimakan dan tahan lama. Tahan diri daripada terjebak dengan pakej pembungkusan menarik atau sampel yang diberikan jurujual.
Apabila berjaya menahan diri daripada godaan ini, percayalah tahap keyakinan diri pasti meningkat dan membuatkan kita lebih peka dengan kawalan kewangan peribadi.
- Pentingkan diri sendiri sebelum orang lain, kerjaya dan sebagainya. Walaupun ada beberapa pengecualian, sebaiknya berikan ruang seketika untuk diri sendiri sebelum memberi perhatian kepada perkara lain.
- Lakukan sesuatu yang digemari sebagai cara untuk melegakan tekanan. Jika bersenam jadi pilihan, lakukan saja tanpa perlu menunggu masa sesuai. Andai gemar merehatkan diri dengan menonton drama secara maraton di televisyen pada hari cuti, teruskan saja menonton. Abaikan seketika pandangan atau teguran orang lain. Ini masanya untuk memanjakan diri tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
- Cuba ubah aktiviti rutin kepada amalan terapeutik contohnya ketika mandi. Ia perkara yang dilakukan setiap hari, tetapi tetapkan minda dan nikmati keseronokan mental apabila pancuran air mula menyentuh kulit.
Begitu juga ketika bersyampu. Jadikan masa bersyampu itu sebagai salah satu cara mengurangkan tekanan di kepala dengan mengurutnya lembut sambil menghidu haruman daripada buih syampu itu.
- Luahkan perasaan, idea atau apa jua pada buku jurnal. Bunyinya seakan-akan ketinggalan zaman terutama pada era teknologi gajet hari ini, tetapi meluahkan setiap rasa pada jurnal dapat membantu membuatkan diri lebih tenang dan gembira. Ia seperti kita meluahkan perasaan pada teman rapat tanpa perlu bimbang komen negatif yang diberikan oleh individu terbabit.
- Pasang lilin beraroma setiap kali diri mula dihambat gelisah. Api itu sendiri berupaya memukau mata dan menenangkan minda. Selain itu, ia membuatkan ruang kediaman berbau harum dan memberikan suasana santai yang indah.
- Amalkan membayar dengan wang tunai. Ia memang sukar dilakukan pada awalnya sehinggalah ia menjadi tabiat. Cara ini membuatkan diri sedar dengan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan. Apabila diri tidak terbeban dengan hutang kad kredit misalnya, secara automatik diri akan lebih tenang dan puas hati dengan apa yang dibelanjakan itu.
- Hentikan interaksi dengan individu yang memberikan kesan atau aura negatif pada kehidupan harian. Jangan rasa bersalah jika perlu menjauhkan diri daripada rakan yang sentiasa berfikiran negatif, suka bermegah, kaki mengadu atau asyik memberi komen buruk.
- Letakkan sasaran lebih realistik yang ingin dicapai setiap hari. Kita tidak benar-benar akan mencapai sasaran itu lebih atau kurang daripada biasa, tetapi ia akan membuang rasa bersalah pada diri sendiri apabila ia tidak berjaya seperti diingini.
- Cari kebahagiaan dan ketenangan diri pada perkara ringkas dalam kehidupan harian. Tanamkan sifat bersyukur dengan rezeki atau apa yang diperoleh setiap hari. Tidak perlu makanan mewah atau barangan berjenama untuk membuatkan diri benar-benar gembira.
Kadang-kala sebungkus nasi lemak itu sudah cukup untuk membantu menggembirakan diri yang kelaparan. Jangan mengeluh apabila terpaksa bersesak dalam tren apabila pulang kerja kerana keadaan itu lebih baik daripada mereka yang tersangkut berjam lamanya di dalam kereta akibat kesesakan jalan raya.
Jika perkara kecil seperti ini mula dilihat atau diberi perspektif lebih positif, percayalah kebahagiaan diri itu akan muncul secara sendirinya. Kita akan lebih menghargai setiap perkara yang berlaku di sekeliling kita tanpa mengira situasi dan keadaannya.
- Hentikan mencari kesalahan orang lain dan diri sendiri jika ia tidak berkaitan dengan perkara penting seperti kerja, keluarga dan sebagainya. Apabila kita mula belajar menerima keadaan diri sendiri, secara tidak langsung ia membantu kita menerima keadaan individu lain.
Setiap manusia mempunyai keperluan dan masalah berbeza. Justeru, jangan andaikan semua individu sama keadaannya dengan kita. Elakkan frasa ‘Saya boleh buat kenapa orang lain tak boleh?’ atau ‘Kenapa orang lain boleh buat, tetapi saya tak berjaya?’
Membandingkan diri dengan individu lain tidak salah malah kadangkala ia membantu meningkatkan keyakinan diri dan mendorong kita untuk lebih berusaha. Tetapi, apabila ia mula terarah kepada perkara negatif, berusahalah elakkan diri daripada memikirkannya. Segeralah halakan fikiran kepada sesuatu yang lebih menyeronokkan.

Credit:Nor Faizah Mohamed

No comments:

Post a Comment