Wednesday, 11 March 2015

MENJAGA KEAMANAN NEGARA SUATU TUNTUTAN

Peristiwa pencerobohan yang dilakukan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah, pada 5 Mac tahun lalu memberi kesedaran pentingnya aspek pertahanan dalam sesebuah negara. Pertahanan dan keamanan adalah keperluan penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara.

Keamanan dan keselamatan membolehkan masyarakat serta negara melaksanakan tugas ke tahap maksimum.

Ulama terkenal, Yusuf al-Qaradhawi, menyebut mengenai kepentingan dan kebajikan manusia sebagai maslahat terbahagi kepada tiga iaitu masalahat dharuriyyat, sesuatu yang diperlukan manusia dalam kehidupan. Sekiranya perkara itu tidak dijaga maka kehidupan manusia akan pincang dan tidak sempurna.

Kedua, maslahat hajaiyyat iaitu perkara diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup mereka. Jika perkara ini tidak wujud, kehidupan tidak akan pincang, tetapi mereka berhadapan sedikit kesusahan.

Ketiga, maslahat tahsiniyyat iaitu perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara itu boleh mencacatkan dari segi penilaian serta adat kebiasaan.




Anggota keselamatan berkawal dalam menjaga keamanan wilayah Lahad Datu. - Gambar hiasan

Keamanan berkait rapat dengan iman

Keamanan berkait rapat dengan keimanan sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa aman serta tenteram daripada segala gangguan sama ada di dunia atau akhirat. Al-Quran mengungkapkan adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-An'am, ayat 82)

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak mewujudkan keamanan serta keselamatan atas nama kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam usaha membina, mewujudkan keamanan serta keselamatan.

Iman Bukhari dalam kitab sahihnya menjelaskan keterangan yang cukup menarik mengenai sabda Rasulullah SAW berkaitan keamanan. Katanya: "Kehidupan sosial dan kemasyarakatan memerlukan pertahanan dan keamanan dan aspek itu umpama penumpang kapal (ka rukkab al-safinah). Sebahagian penumpang berada di tingkat atas, sebahagian berada di tengah dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Apabila penumpang yang berada di tingkat bawah ingin mengambil air, mereka perlu naik ke atas dan melalui bahagian yang berada di atas mereka. Lalu terdapat fikiran dalam kalangan mereka yang ingin mengambil jalan pintas untuk mengambil air dengan cara menebuk dinding kapal, agar mudah untuk mendapatkan air. Jika idea atau fikiran itu dibiarkan sudah tentu kapal tersebut akan karam, sebaliknya jika ada dalam kalangan mereka yang menyedari dan mencegah perbuatan itu, maka sudah tentu mereka akan selamat dan kapal tidak karam."

Dalam konteks Malaysia, tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Amanah itu telah dipikul dengan jayanya oleh kedua-dua organisasi berkenaan sejak sekian lama.

Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan disegani antara lain mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih dari segi persenjataan. Sebab itu perkara utama dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah ialah membentuk jentera pertahanan.

Proses menyediakan pasukan keselamatan yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii semata-mata. Bukan bermakna disebabkan adanya musuh atau terdapat ancaman sesebuah negara itu membentuk pasukan keselamatan.

Pembentukan pasukan keselamatan dalam sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai umat Islam adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Musuh Islam tetap ada sama ada musuh itu dalam pengetahuan atau di luar pengetahuan. Allah SWT mengarahkan umat Islam sentiasa bersiap sedia dan berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan supaya mereka tidak akan dikejutkan oleh musuh yang menyerang.

Syarat berperang

Allah SWT membenarkan berperang berdasarkan beberapa syarat iaitu kerana kaum Muslimin teraniaya atau ingin mempertahankan diri, menjaga agama, kebebasan beragama terancam atau dihalang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Diizinkan berperang bagi orang Islam yang diperangi oleh penceroboh, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka mencapai kemenangan, iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang besar (mereka diusir) semata-mata berkata, Tuhan kami adalah Allah kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan sesuatu generasi (kaum Nasrani) dan tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Dan sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha berkuasa." (Surah al-Hajj, ayat 39-40)

Wajar pasukan keselamatan kita menentang pencerobohan pengganas demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.




Credit: Dr Burhanuddin Jalal (UPNM)

No comments:

Post a Comment