Sunday, 18 January 2015

Lelaki Taiwan mati akibat main permainan video

Posted by Ohsenyum at 8:00 pm

TAIPEI 17 Jan. Seorang lelaki Taiwan berusia 32 tahun maut selepas leka bermain permainan video selama tiga hari berturut-turut di sebuah siber kafe di selatan kepulauan itu, kejadian kedua seumpamanya tahun ini.

Lelaki yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Hsieh ditemukan tersembam pada kerusinya di siber kafe itu yang terletak di bandar Kaohsiung. Pelanggan yang turut berada di kafe siber itu menyangka mangsa sedang tidur, namun apabila seorang pekerja kafe menyedari mangsa tidak bernafas, mereka membawanya ke hospital.



Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia, lapor Taipei Times, hari ini. Doktor mengesahkan Hsieh mengalami masalah kegagalan jantung dan mengklasifikasikan kes itu sebagai ‘mati mengejut’ akibat terlalu lama bermain permainan video.

“Hsieh merupakan satu daripada pelanggan tetap di sini dan sentiasa bermain untuk tempoh beberapa hari berturut-turut. “Sekiranya mengantuk, dia akan tidur di atas kerusi dengan kepalanya diletakkan pada meja komputer dan disebabkan itu kami tidak menyedari akan keadaannya,’’ kata pekerja kafe siber tersebut.

Kes Hsieh berlaku selepas seorang lelaki berusia 38 tahun ditemukan mati di sebuah kafe siber di New Taipei City pada 1 Januari lalu selepas bermain game selama lima hari berturut-turut. – AFP

No comments:

Post a Comment