Tuesday, 5 August 2014

Perancangan Allah sangat sempurna

MUSIBAH memang menyakitkan. Namun di sebalik setiap musibah, terdapat hikmah yang sangat besar.

Abu Salamah dan Umi Salamah adalah pasangan yang sangat berbahagia. Kedua-duanya ialah sahabat Nabi SAW yang telah beriman sejak sebelum Hijrah. Mereka bahkan termasuk dalam kalangan yang paling awal memeluk Islam apabila seluruh ahli Mekah menolaknya.

Pahit getir menjaga akidah mereka lewati bersama. Pasangan ini sempat berpisah sekian lama apabila kaum musyrik menghalang Abu Salamah membawa anak isterinya berhijrah ke Madinah. Namun Allah SWT kemudian berkenan menyatukan kembali dua insan yang saling mencintai ini di Madinah. Walau hidup sederhana, namun anak-beranak ini merasakan kebahagiaan hakiki di bawah naungan Islam.

Suatu hari Umi Salamah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa musibah, lalu ia mengucapkan kata-kata yang Allah perintahkan iaitu: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, dan ia berdoa: ‘Ya Allah, berilah daku pahala atas musibah ini dan gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik’, melainkan Allah akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik untuknya."

Beberapa masa kemudian, tepatnya pada perang Uhud, Abu Salamah pulang ke rumah dengan luka-luka memenuhi tubuhnya. Lima bulan kemudian, beliau meninggal dunia.

Kejadian ini sungguh menyayat hati Umi Salamah. Beliau sangat sedih kerana kehilangan seorang suami yang sangat dicintai. Beliau teringat doa yang diajarkan Nabi SAW, lalu membacanya. Namun apabila tiba pada kalimat: “Gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik", timbul keraguan di hatinya.

“Tiada suami yang lebih baik daripada Abu Salamah," fikir Umi Salamah. “Beliau adalah suami yang begini dan begitu..." Umi Salamah terus mengenang semua kebaikan arwah suaminya ini.

Tidak lama setelah tempoh iddahnya berlalu, Rasulullah SAW datang meminang Umi Salamah. Baginda lebih baik berbanding Abu Salamah. Bahkan, baginda ialah makhluk Allah yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kehadiran beliau merupakan perwujudan janji Allah untuk orang yang bersabar dalam menghadapi musibah.
Hikmah


Kisah yang diadaptasi daripada sebuah hadis Sahih Muslim ini memberikan energi murni bagi setiap orang yang tengah tertimpa musibah. Sama ada kerana berpisah dengan orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, tertimpa kemalangan dan lain-lain.

Kisah ini mengajarkan bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap musibah. Perancangan Allah SWT sangat sempurna dan selalu membawa kebaikan bagi hamba-hamba-Nya.

Andai Umi Salamah tidak pernah merasakan kepahitan musibah, beliau tidak akan mendapat kehormatan menjadi isteri Rasulullah SAW. Dan beliau tidak akan mendapat gelaran mulia “Ummul Mu’minin" (Ibu orang-orang beriman) yang kekal abadi hingga ke akhirat.

Sebagai Muslim, kita dituntut bersabar apabila menghadapi musibah. Yakinlah bahawa setiap musibah selalu diiringi rancangan Ilahi yang sangat baik untuk kita. Jika kita tidak menemuinya di dunia, kita pasti mendapatinya di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim tertimpa kesedihan, kekalutan dan kesakitan, walaupun sebuah duri yang menusuk kakinya, melainkan Allah akan menggugurkan untuknya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat al-Bukhari)


Allah lebih tahu

Seorang Muslim percaya bahawa Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan pemilik sifat-sifat sempurna lainnya. Kebijaksanaan Allah jauh lebih luas berbanding kebijaksanaan semua manusia.

Justeru, seorang Muslim mesti bertawakal kepada Allah. Ia mesti yakin bahawa setiap ketentuan Allah mestilah pilihan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Lagi pula, sekuat apapun penolakan kita kepada takdir Allah SWT, musibah tersebut telah berlaku. Kemarahan dan kesedihan tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang. Malahan ia hanya akan membuat kita terhalang daripada rahmat Allah SWT. Justeru, sikap reda kepada takdir lebih menenangkan hati, sekali gus menjana cinta Ilahi.

Semoga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku dan memberi kita kekuatan iman untuk bersabar dalam menghadapinya. Amin ya rabbal ‘alamin.

No comments:

Post a Comment