Wednesday, 21 May 2014

Melahirkan keluarga mithali

KELUARGA mithali adalah keluarga idaman semua orang yang berkahwin dan berkeluarga. Tiada seorang pun yang berkahwin ingin melihat perkahwinan yang dibina itu hancur dan menyebabkan penderitaan kepada ahli keluarga itu. Semua orang ingin melihat perkahwinan mereka bahagia, aman damai dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Lantaran itu, bagi menjadikan keluarga kita sebuah keluarga mithali, setiap orang dalam keluarga itu perlu tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing. Setiap yang ingin berkahwin perlu mempunyai ilmu mengenai hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan kerana ia boleh menjamin kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga yang akan menjadikan keluarga itu menjadi keluarga teladan.

Orang utama dan pertama yang mesti mengetahui hak dan tanggungjawabnya ialah seorang lelaki yang menjadi suami. Di bahunya terletak satu tanggungjawab yang besar, iaitu menjadi ketua rumah tangga. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya."

Hadis ini sering dibaca dan disebutkan, namun ramai yang memahami hadis ini sebagai asas kukuh untuk berkahwin bagi mengelak diri daripada melakukan zina atau maksiat. Sebenarnya hadis ini menerangkan cara mengawal nafsu yang terbaik itu dengan berpuasa dan perkahwinan bagi seorang lelaki ialah apabila dia sudah mampu. Mampu bukan saja daripada segi fizikal dan mental dan yang paling penting ialah material.


Kemampuan

Isteri dan anak tidak boleh hidup dengan hanya kasih sayang, walaupun perkahwinan itu adalah berasaskan kasih sayang. (rujuk al-Rum: 20)
Apabila syarat utama ialah mengenai kemampuan, maka seorang lelaki yang tidak bekerja, tiada pendapatan dan ditanggung oleh ibu bapanya tidak mampu untuk berkahwin kerana tidak akan dapat menanggung nafkah isterinya, sedangkan memberi nafkah zahir batin kepada isteri itu adalah satu kewajipan suami dan jika tidak dilaksanakan, ia adalah satu dosa.

Hari ini, generasi muda menggunakan alasan “desakan nafsu" maka dia mesti berkahwin atau dikahwinkan. Ramai hanya mengumpul duit untuk membeli cincin dan membayar mas kahwin dan perbelanjaan lain ditanggung keluarga.

Ada ibu bapa terpaksa berhutang untuk mengahwinkan anak mereka. Lepas berkahwin, ada yang terus tinggal dengan ibu bapa kerana tidak mampu menyewa rumah, terutamanya di Kuala Lumpur. Akhirnya, ibu bapa berterusan menanggung anak, menantu dan cucu.

Ini baru menyentuh tanggungjawab kewangan atau material. Hari ini ramai isteri yang terpaksa menanggung suami kerana pendapatan isteri jauh lebih besar. Malah ramai dalam kalangan lelaki hari ini, secara sengaja mengahwini wanita yang bekerja dan berpendapatan tinggi.

Mulanya suami bekerja tetapi apabila sudah mempunyai satu atau dua anak, suami menyatakan hasrat untuk berhenti kerja kerana ingin berniaga dan ingin menambah pendapatan keluarga. Akhirnya, perniagaannya entah ke mana, hutang keliling pinggang dan isteri yang terpaksa menyelesaikannya.


Tanggungjawab

Keretakan rumah tangga akan bermula dengan isteri merasa tertipu, letih dengan perangai suami dan akhirnya, pasangan itu bercerai kerana suami enggan mencari pekerjaan dan mengambil keputusan untuk duduk di rumah menjaga anak. Jika dia benar-benar menjaga anak dan memasak semasa isterinya bekerja, dikira bertuah kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan mengaji pembantu rumah atau menghantar anak ke tempat jagaan.

Bagaimanakah rumah tangga ini hendak menjadi mithali? Bagi seorang lelaki yang tahu tanggungjawabnya, biasanya dia mencari pekerjaan dan mengumpul wang untuk berkahwin. Anak lelaki yang bertanggungjawab juga menggunakan wangnya sendiri untuk mas kahwin, hantaran dan kenduri-kendara.

Dia tidak berhutang untuk berkahwin kerana mengetahui ia akan memulakan sesuatu yang baik dengan riba. Zaman dahulu, orang berkahwin mengikut kemampuan dan selepas berkahwin, ibu bapa kita hidup aman damai walaupun kita tidak sekaya mana.

Namun, ahli keluarga tidak pernah dibiarkan hidup kebuluran. Kehidupan yang sederhana mengajar kita erti sabar dan bersyukur. Ibu bapa kita bekerja kuat setiap hari demi mencari sesuap nasi.

No comments:

Post a Comment