Tuesday, 18 September 2012

ketelitian dan kesungguhan Imam Bukhari


Iktibar daripada ketelitian dan kesungguhan Imam Bukhari


KISAH teladan tokoh-tokoh memainkan peranan penting dalam sejarah umat Islam. Sumbangan mereka perlu kita hayati dan renungi bersama agar menjadi pembakar semangat bagi kita dan generasi akan datang untuk terus memainkan peranan dan menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
Antara sarjana Islam tersohor, pencinta ilmu yang mengorbankan sebahagian besar hidupnya bagi menjejaki sunah Rasulullah saw dan khazanah ilmunya menjadi rujukan hingga kini ialah Muhammad Bin Ismail Bin Ibrahim Bin Al-Mughirah Al-Jafi, atau lebih dikenali dengan nama Imam Al-Bukhari.
Dilahirkan di Bukhara, kini Uzbekistan, pada 194 Hijriah (810 Masihi), beliau merupakan antara ahli hadis tersohor di samping para ahli hadis lain seperti Imam Ahmad Bin Hanbal, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi dan Imam Ibnu Majah.
Disebabkan ilmunya yang luas dalam bidang hadis, sebahagian ulama memberinya gelaran 'Amirul Mukminin Fil Hadis' yang bermaksud pemimpin kaum Mukminin dalam ilmu hadis.
Sebagai sarjana Muslim yang pintar dan berdisiplin, Imam Bukhari juga menghasilkan pelbagai karya penulisan meliputi bidang ilmu lain seperti ilmu tafsir, fiqah dan sejarah. Fatwa-fatwanya juga sering menjadi bahan rujukan para ulama hingga kini.
Antara kitabnya yang tersohor adalah kumpulan hadis sahih berjudul Al-Jamik Al-Sahih Al-Musnad Min Hadis Rasulillah saw Wa Sunanihi Wa Ayyamihi atau lebih dikenali dengan nama Sahih Bukhari.
Di dalam komentarnya tentang karyanya ini, beliau pernah diriwayatkan sebagai berkata: "Aku telah menyusun kitab Al-Jamik ini yang dipilih daripada 600,000 hadis selama 16 tahun".
Selama 16 tahun, beliau mengunjungi pelbagai tempat demi menemui para perawi hadis, mengumpul dan memilih hadis tertentu.
Di antara kota yang dilawatinya ialah Basrah, Mesir, Hijaz (iaitu Makkah dan Madinah), selain Kufah, Baghdad sehinggalah sampai ke Asia Barat.
Malah ketika di Baghdad, Imam Bukhari sering bertemu dan berbincang dengan ulama seperti Imam Ahmad Bin Hanbal dan sebagainya. Daripada pengembaraannya, beliau bertemu lebih 80,000 periwayat hadis.
Melalui ratusan ribu hadis yang dihafalnya, Imam Bukhari memilih hadis-hadis sahih menurut kriterianya, yang merupakan kaedah penelitian secara ilmiah dan berstruktur. Ini termasuklah pertimbangan dari sudut sanad (jaluran riwayat) hadis itu, apakah perawinya boleh dipercayai dan dapat diterima daripada sudut keperibadiannya dan kredibilitinya. Selepas penelitian rapi, Imam Bukhari hanya menyertakan 9,082 hadis terpilih dalam kitabnya, Sahih Bukhari.
Imam Bukhari telah membangunkan secara sistematik kriteria-kriteria penentuan kesahihan hadis.
Ini seharusnya memberi kita inspirasi untuk memastikan bahawa umat Islam harus berfikiran secara sistematik dan teratur di dalam segala urusan.
Kita juga sewajarnya perlu mempunyai kecintaan yang sama terhadap warisan peninggalan Nabi.
Sebagai langkah permulaan, kita perlu sekurang-kurangnya mempunyai simpanan kitab hadis seperti Hadith 40 atau kitab Riyadhus Solihin. Kededuanya merupakan himpunan hadis yang disusun Imam Nawawi mengikut tema tertentu.
Kita juga akan dapati bahawa hadis sahih tidak hanya terhad pada Sahih Bukhari, bahkan pada kitab hadis oleh ulama lain juga. Ini akan melahirkan sikap hormat pada pendapat yang berbeza di sisi para ulama, dan tidak cepat menolak atau menyalahkan pendapat yang tidak sealiran dengan kita.
Mudah-mudahan ini akan melahirkan generasi yang kukuh keimanannya, murni hatinya serta diredai Allah swt.
  
Makam Imam Bukhari.



Credit: CY Berita

No comments:

Post a Comment