Saturday, 7 July 2012

BERSYUKUR


Photo
Umat Islam mesti bersyukur setiap kurniaan Ilahi



Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari rumah pergi ke sesuatu tempat. Di tengah jalan, baginda bertemu dengan Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar bin al-Khattab lalu bertanya, kenapa mereka berdua keluar rumah. Saidina Abu Bakar dan Umar menjawab: “Tak ada sebab yang membuat kami keluar dari rumah selain daripada rasa lapar. Rasulullah SAW sendiri keluar rumah kerana lapar. Lalu, baginda SAW mengajak dua sahabatnya itu mengunjungi rumah seorang sahabat bernama Abu Ayyub al-Ansari. Sebagai tuan rumah, Abu Ayyub, berasa sangat gembira dengan kedatangan tetamu istimewa yang dihormatinya itu. 



Abu Ayyub menghidangkan roti, daging, kurma basah dan tamar kering. Selepas mereka menikmati hidangan itu, Nabi SAW dengan mata yang berkaca-kaca, lalu bersabda: Kenikmatan yang dirasai ini akan ditanya oleh Allah SWT kelak pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim, Tabrani dan Baihaqi) 


Kisah ini memberi pengajaran kepada kita kewajipan bersyukur kerana dengan syukur dan mengingati Allah yang memberi nikmat, aktiviti seharian yang nampaknya begitu mudah dan rutin, akan bertukar menjadi amal ibadah.

Jika kenikmatan kecil dan nampak biasa saja seperti makan minum sudah wajib disyukuri, bagaimana pula dengan kenikmatan besar seperti nikmat iman, kesihatan dan kekayaan yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.” (Surah al-Dhuha, ayat 11) 
Menurut pakar tafsir terkenal, al-Raghib al-Isfahani, syukur bermaksud mengerti dan menyedari nikmat, lalu menzahirkannya melalui zakat, infak, dan sedekah. Syukur juga bererti mempergunakan dan memanfaatkan nikmat sesuai dengan tujuan diberikan nikmat itu. 

Oleh itu, pemberian prasarana dan kemudahan asas untuk pelaksanaan tugas, tidak boleh diselewengkan demi kepentingan peribadi atau kehendak golongan tertentu. Ini salah satu daripada bentuk kekufuran terhadap nikmat Ilahi.

Syukur juga bermakna mengembangkan nikmat dan potensi baik supaya tumbuh subur, berkembang dengan lebih produktif. Maka, sikap pencerobohan dan pemusnahan terhadap kekayaan alam sekitar dan budaya juga satu bentuk kekufuran terhadap nikmat Allah SWT. 

Amalan syukur berbeza sama sekali dengan kufur yang bererti menutup. Orang yang tidak bersyukur dianggap sebagai orang yang kufur nikmat kerana dia tidak ikhlas mengakui, apatah lagi menghargai nikmat Allah yang diperolehnya.

Tidak memuji Allah, malah amat jauh sekali untuk memanfaatkan nikmat itu untuk jalan kebajikan. 

Orang yang tidak bersyukur akan berusaha menutupi limpahan nikmat yang diperoleh di samping membataskan cara bersyukur sekadar ucapan lidah yang tidak berbekas di jiwa.

Seorang Muslim yang bersyukur adalah seorang yang mengakui secara ikhlas dan menghargai dengan penuh keinsafan semua nikmat kurniaan Ilahi Yang Maha Pemurah, berbaik sangka pada setiap ujian dan musibah Allah yang terhampar di sepanjang perjalanan hidupnya.

Kenyataannya, tidak semua orang pandai bersyukur. Menurut Imam al-Ghazali, untuk menjadi manusia yang sentiasa bersyukur, setiap Muslim seharusnya sedar semua anugerah dan nikmat dimiliki itu sebenarnya daripada Allah SWT. 

Personaliti seperti Qarun menjadi kufur kerana dia berasakan semua kekayaan diperoleh melalui usaha dan kehebatannya sendiri. 

Ketika ditanya mengenai kekayaannya, Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah membinasakan sebelumnya, dari umat yang lalu, orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya mengenai dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah al-Qasas, ayat 78). BH (Agama)

No comments:

Post a Comment