Friday 15 August 2014

Gerakan solat senaman untuk jantung


PENYAKIT jantung atau kardiovaskular berpunca daripada pelbagai faktor termasuklah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan tidak menjaga pemakanan.
Pelbagai rawatan diperkenalkan bagi merawat penyakit kronik ini dari segi sains perubatan termasuklah pembedahan pintasan dan pemindahan jantung.
Walau bagaimanapun, kajian biokejuruteraan solat yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) menemui sesuatu yang sangat menarik khusus dalam sains kesihatan.
Kajian yang dilakukan terhadap 53 orang respondan mendapati solat mendatangkan kebaikan dari pelbagai sudut termasuklah aspek kesihatan.
Peserta tersebut terdiri daripada 17 lelaki dan 36 orang perempuan yang mempunyai kesihatan yang normal. Bacaan kadar denyutan jantung pada setiap postur solat direkodkan dengan menggunakan elektrokardiogram.
Terdapat beberapa gerakan asas dalam solat seperti rukuk, sujud, berdiri tegak dan tahiyat yang menjadi rukun solat bagi orang Islam.
Profesor Dr. Wan Azman Wan Ahmad, menerangkan sesuatu kepada DYMM Sultan Perak
Menurut Profesor Perubatan dan Ketua Jabatan Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Wan Azman Wan Ahmad, postur dan pergerakan solat boleh disyorkan sebagai senaman yang sangat sesuai bagi pesakit kardiovaskular atau jantung.
"Sebagai contoh, postur rukuk akan memudahkan darah dipam ke otak kerana kedudukan jantung yang selari dengan kepala.
"Bagi kedudukan sujud pula, denyutan jantung berada pada tahap paling rendah kerana kedudukan jantung adalah lebih tinggi relatif kepada kepala.
Oleh itu, ia memudahkan darah turun ke otak dengan dibantu oleh tekanan graviti. Semakin banyak darah mengalir ke otak, otak akan menjadi sihat dan cergas," jelasnya yang juga salah seorang penyelidik dalam kajian solat tersebut.
Bagi pesakit jantung, mereka disaran menjadikan solat sebagai senaman. Mereka disyorkan bersolat selama 30 minit yang bersamaan dengan 12 rakaat setiap hari untuk mendapatkan kesan yang efektif kepada jantung.
"Jadi, umat Islam sepatutnya memanfaatkan perintah solat yang dilakukan sebanyak lima kali sehari. Bukan sahaja menunaikan perintah Allah, tetapi turut menyihatkan badan mereka.
"Orang bukan Islam juga boleh melakukan pergerakan dalam solat sebagai senaman ringan kerana amalan ini boleh mengelakkan mereka daripada mendapat penyakit kardiovaskular," kongsi Wan Azhar.

Tuesday 12 August 2014

SYEIKH Tahir Jalaluddin...Tokoh pemikir tanah air


SYEIKH Tahir Jalaluddin atau nama sebenarnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhamad bin Ahmad Jalaluddin adalah seorang ulama reformis yang mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Kaum Muda di Tanah Melayu sekitar hujung 1890-an dan awal 1900.

Bapa beliau, Muhammad bin Ahmad Jalaluddin atau dikenali dengan gelaran Syeikh Langgang bin Ahmad Jalaluddin, merupakan seorang ulama yang terkenal di Minangkabau. Syeikh Tahir dilahirkan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 1869 dan berketurunan Melayu Minangkabau.

Beliau pernah menetap dan mendapat pendidikan di Mekah selama 12 tahun. Beliau sering juga digelar dengan al-Falaki di hujung namanya, mengambil sempena kemahiran beliau dalam ilmu falak.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang ilmu falak dan menetap di Tanah Melayu apabila pulang dari Mesir pada 1899.

Syeikh Tahir Jalaluddin mempunyai pekerti yang mulia, gigih serta berani dalam perjuangan beliau. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato yang baik.



Semasa berada di Mesir, gerakan pembaharuan Islam sedang giat berjalan di rantau berkenaan dengan dipimpin oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kedua- dua mereka memperjuangkan semangat pembaharuan dalam Islam melalui Gerakan al-Tajdid wa al- Islah.


Pemikiran

Syeikh Tahir terpengaruh dengan pemikiran kedua-dua tokoh berkenaan dan apabila beliau pulang ke Tanah Melayu pada 1899, beliau cuba mengembangkan ajaran tersebut dan bergerak cergas dalam gerakan Islam.

Pada 1914, Syeikh Tahir bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Johor Bharu sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Pemeriksaan Pelajaran Agama di Muar dan Batu Pahat.

Beliau kemudian mengajar di Madrasah al-Masyhor bersama-sama dengan Syeikh al-Hadi, seorang lagi tokoh gerakan pembaharuan Islam di Tanah Melayu.



Selepas itu, Syeikh Tahir mengajar di Madrasah Haji Taib. Semasa inilah, beliau bergerak aktif untuk mengembangkan idea dan fahaman Kaum Muda, terutamanya di sekitar Kampung Baharu, Alor Gajah, Melaka dan di Kampung Parit Jamil.

Syeikh Tahir meninggal dunia pada 2 Oktober 1956 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau memberikan sumbangan besar terutama sekali merubah pemikiran orang Melayu dan menyedarkan mereka supaya berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan termasuk ilmu dari Barat, bagi mencapai kejayaan dan kemajuan.

Beliau merupakan pelopor gerakan pembaharuan Islam yang berteraskan al-Quran dan al- Sunnah dan berusaha gigih membebaskan umat Islam daripada pemikiran yang sempit.

Beliau meninggalkan kesan besar terhadap kemajuan pendidikan di tanah air, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi, dengan memasukkan sukatan pelajaran moden bagi ilmu pengetahuan seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Pemikiran beliau bukan sahaja tersebar luas di Tanah Melayu tetapi turut berkembang hingga ke Sumatera, Sulawesi, Jawa dan Kalimatan.

Beliau bersama-sama Syed Syeikh al-Hadi telah menerbitkan majalah al-Imam pada 1906, yang mencetuskan semangat menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Beliau juga menangkis propaganda Barat terhadap Islam serta menentang pemikiran Barat yang mengelirukan melalui penulisan beliau dalam kitab Al-Islam Waraddu Muntaqidihi dan ‘al-Islam wa Nasraniah maal Ilmi wal Madaniah.

Syeikh Tahir memberi sumbangan besar dalam reformasi sistem pendidikan negara terutamanya dalam sistem pendidikan di sekolah agama.

Syeikh Tahir Jalaluddin dikaitkan dengan ‘Golongan al-Imam’ atau dikenali juga sebagai ‘Kaum Muda.’ Beliau digolongkan dalam ‘Golongan al-Imam’ kerana beliau adalah pelopor kepada penerbitan Majalah al-Imam, yang menyeru orang Melayu supaya mengubah pemikiran sempit mereka yang mempercayai perkara-perkara tahayul dan khurafat.

Turut digolongkan bersama-sama Syeikh Tahir dalam ‘Golongan al-Imam’ ialah Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd. Taha dan Syeikh Muhammad Salim al-Kalali.

Pembaharuan pemikiran yang cuba dibawa oleh mereka telah ditentang oleh ulama konservatif dan mereka diberikan pelbagai gelaran seperti ‘Kaum Sesat’, ‘Wahabbi’ dan ‘Kaum al-Manar’.


Pendita Alim Zaaba

Tokoh pemikir dan ahli bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za’ba sendiri turut tergolong dalam kumpulan Gerakan Pembaharuan Islam ini. 

Melalui majalah al-Imam, Syeikh Tahir dan Syed Syeikh al-Hadi cuba membuka minda orang Melayu terhadap persekitaran kehidupan yang masih terbelenggu dengan pelbagai permasalahan, khususnya yang muncul dari dalam diri dan masyarakat Melayu itu sendiri.

Tuesday 5 August 2014

Perancangan Allah sangat sempurna

MUSIBAH memang menyakitkan. Namun di sebalik setiap musibah, terdapat hikmah yang sangat besar.

Abu Salamah dan Umi Salamah adalah pasangan yang sangat berbahagia. Kedua-duanya ialah sahabat Nabi SAW yang telah beriman sejak sebelum Hijrah. Mereka bahkan termasuk dalam kalangan yang paling awal memeluk Islam apabila seluruh ahli Mekah menolaknya.

Pahit getir menjaga akidah mereka lewati bersama. Pasangan ini sempat berpisah sekian lama apabila kaum musyrik menghalang Abu Salamah membawa anak isterinya berhijrah ke Madinah. Namun Allah SWT kemudian berkenan menyatukan kembali dua insan yang saling mencintai ini di Madinah. Walau hidup sederhana, namun anak-beranak ini merasakan kebahagiaan hakiki di bawah naungan Islam.

Suatu hari Umi Salamah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa musibah, lalu ia mengucapkan kata-kata yang Allah perintahkan iaitu: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, dan ia berdoa: ‘Ya Allah, berilah daku pahala atas musibah ini dan gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik’, melainkan Allah akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik untuknya."

Beberapa masa kemudian, tepatnya pada perang Uhud, Abu Salamah pulang ke rumah dengan luka-luka memenuhi tubuhnya. Lima bulan kemudian, beliau meninggal dunia.

Kejadian ini sungguh menyayat hati Umi Salamah. Beliau sangat sedih kerana kehilangan seorang suami yang sangat dicintai. Beliau teringat doa yang diajarkan Nabi SAW, lalu membacanya. Namun apabila tiba pada kalimat: “Gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik", timbul keraguan di hatinya.

“Tiada suami yang lebih baik daripada Abu Salamah," fikir Umi Salamah. “Beliau adalah suami yang begini dan begitu..." Umi Salamah terus mengenang semua kebaikan arwah suaminya ini.

Tidak lama setelah tempoh iddahnya berlalu, Rasulullah SAW datang meminang Umi Salamah. Baginda lebih baik berbanding Abu Salamah. Bahkan, baginda ialah makhluk Allah yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kehadiran beliau merupakan perwujudan janji Allah untuk orang yang bersabar dalam menghadapi musibah.
Hikmah


Kisah yang diadaptasi daripada sebuah hadis Sahih Muslim ini memberikan energi murni bagi setiap orang yang tengah tertimpa musibah. Sama ada kerana berpisah dengan orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, tertimpa kemalangan dan lain-lain.

Kisah ini mengajarkan bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap musibah. Perancangan Allah SWT sangat sempurna dan selalu membawa kebaikan bagi hamba-hamba-Nya.

Andai Umi Salamah tidak pernah merasakan kepahitan musibah, beliau tidak akan mendapat kehormatan menjadi isteri Rasulullah SAW. Dan beliau tidak akan mendapat gelaran mulia “Ummul Mu’minin" (Ibu orang-orang beriman) yang kekal abadi hingga ke akhirat.

Sebagai Muslim, kita dituntut bersabar apabila menghadapi musibah. Yakinlah bahawa setiap musibah selalu diiringi rancangan Ilahi yang sangat baik untuk kita. Jika kita tidak menemuinya di dunia, kita pasti mendapatinya di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim tertimpa kesedihan, kekalutan dan kesakitan, walaupun sebuah duri yang menusuk kakinya, melainkan Allah akan menggugurkan untuknya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat al-Bukhari)


Allah lebih tahu

Seorang Muslim percaya bahawa Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan pemilik sifat-sifat sempurna lainnya. Kebijaksanaan Allah jauh lebih luas berbanding kebijaksanaan semua manusia.

Justeru, seorang Muslim mesti bertawakal kepada Allah. Ia mesti yakin bahawa setiap ketentuan Allah mestilah pilihan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Lagi pula, sekuat apapun penolakan kita kepada takdir Allah SWT, musibah tersebut telah berlaku. Kemarahan dan kesedihan tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang. Malahan ia hanya akan membuat kita terhalang daripada rahmat Allah SWT. Justeru, sikap reda kepada takdir lebih menenangkan hati, sekali gus menjana cinta Ilahi.

Semoga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku dan memberi kita kekuatan iman untuk bersabar dalam menghadapinya. Amin ya rabbal ‘alamin.