Google+ Followers

Thursday, 7 February 2013

Pakar IT, Dr Azli Paat meninggal dunia


Dr Azli Paat

Legasi pakar ICT Azli Paat sukar dicari ganti

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Legasi yang ditinggalkan oleh pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT), Allahyarham Azli Paat, 46, merangkumi pelbagai perkara termasuk dari sudut penambahan ilmu kepada masyarakat, terlalu sukar dicari ganti.

Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio24 (BR24), Azlan Idris berkata, selain menjadi pakar rujuk dalam konteks pembangunan dunia ICT, Allahyarham juga berjaya mencipta sejarah industri penyiaran tanah air apabila menjadi ikon yang mampu mendekati pendengar melalui sifat peribadinya yang sangat disenangi bagi menyampaikan maklumat.

“Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan kepada semua warga BR24 dan juga pendengar setia program berbentuk dokumentari yang bersiaran pada Rabu, pukul 7.30 pagi hingga 8 pagi iaitu ‘Azli On Air - ICT & Anda’ sejak 2008.

“Kami mungkin tidak mampu mencari pengganti Allahyarham yang komited dengan tugas tetapi kami cuba wujudkan program seumpama dengannya pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azli Paat yang juga pemenang Anugerah Perdana Menteri “Best of the Best", Anugerah Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Asia Pasifik APICTA 2012 selain menjadi pengasas DAPAT SMS dan mySMS 15888 serta pencetus idea mewujudkan RakanCOP meninggal dunia akibat demam panas di rumahnya di Bukit Segambut malam semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta 10 orang anak iaitu enam lelaki dan empat perempuan.
Menurut Azlan, Allahyarham merupakan panel terawal yang diilhamkan oleh bekas Ketua Pegawai Operasi BR24, Sheikh Raffie Abdul Rahman supaya bersiaran setelah melihat bidang ICT menjadi keperluan sebagai misi membina sebuah negara maju.

Dalam pada itu katanya, satu program khas akan diadakan pada minggu depan bagi mengimbau kembali sumbangan Allahyarham sepanjang bersama BR24.